Dua penjenayah maut berbalas tembak dengan polis
SEREMBAN: Dua penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di tepi jalan Persiaran Ainsdale Selatan di sini, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku jam 3.15 pagi, apabila sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman melakukan rondaan di Jalan Labu, Seremban sebelum mengesan sebuah kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan.
Sumber berkata, polis cuba memintas dan mengarahkan pemandu kereta terbabit berhenti, namun kenderaan itu dipecut laju.
"Susulan tindakan itu, polis mengejar kereta terbabit sejauh kira-kira dua kilometer, hingga ke Persiaran Ainsdale Selatan.
"Sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki keluar dari kereta terbabit dan melepaskan tembakan ke arah polis, manakala seorang lagi lelaki cuba menyerang menggunakan parang," katanya.
Sumber berkata, serangan dua lelaki terbabit menyebabkan anggota polis terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan ke arah kedua-duanya.
"Kedua-dua lelaki itu mati terkena tembakan polis. Pemeriksaan terhadap mayat mereka di lokasi, tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.
Katanya, pemeriksaan terhadap kereta yang digunakan mendapati ia dipasang nombor pendaftaran palsu, manakala kenderaan itu dikesan turut digunakan bagi kegiatan jenayah di Klang, Selangor.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan beliau dijangka mengadakan sidang media petang ini.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment