Dua pasangan kekasih hidup seperti suami isteri ditahan

Thursday, March 1, 2018

Dua pasangan kekasih hidup seperti suami isteri ditahan

Dua pasangan kekasih hidup seperti suami isteri ditahan

KUALA TERENGGANU - Rahsia dua pasangan kekasih yang hidup seperti suami isteri sehingga melahirkan anak dibongkar anggota penguatkuasa syariah di sini.

Susulan itu, keempat-empat individu ini ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu ,di sini, kerana kesalahan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah ( Takzir)  ( Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka yang hadir sebelum dijatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mahkamah seterusnya memerintahkan agar dikeluarkan waran tangkap kepada tiga lagi individu kerana kegagalan hadir tanpa sebab.

Keputusan dibuat selepas individu itu mengaku bersalah berkhalwat dengan pasangannya di sebuah rumah di Jalan Petani Nisan Empat, di sini, kira- kira jam 12.05 tengah malam, pada 2 April 2017.

Berdasarkan fakta kes, serbuan dan pemeriksaan dijalankan anggota penguatkuasa syariah di sebuah rumah di Jalan Petani Nisan Empat, di sini.

Semasa tiba, pintu utama tertutup rapat tetapi tidak berkunci sebelum pihak berkuasa mengetuk pintu beberapa kali serta memberi salam, namun tiada jawapan.

Seterusnya, pihak berkuasa bertindak masuk ke dalam rumah kerana pintu tidak berkunci dan membuat pemeriksaan sebelum menjumpai dua lelaki bersama pasangan masing-masing.

Kemudian, pemeriksaan lanjut menemukan empat orang kanak-kanak dipercayai anak salah seorang daripada pasangan tersebut.

Selepas disoal siasat, mereka didapati tiada hubungan suami isteri ataupun mahram.

Di mahkamah sama, pasangan remaja dikenakan hukuman denda RM1,500 atau dua minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda kerana berkhalwat.

Keputusan dibuat selepas kedua-dua remaja berusia 19 dan 21 tahun itu mengaku bersalah kerana berkhalwat di sebuah rumah di Kampung Sungai Rengas, di sini, kira- kira jam 11.45 malam, pada 6 November lalu.

Berdasarkan fakta kes, semasa serbuan, didapati pintu utama tertutup rapat tetapi tidak berkunci.

Selepas mengetuk pintu beberapa kali sambil memberi salam dan memperkenalkan diri tetapi tiada jawapan.

Anggota seterusnya bertindak masuk dan pemeriksaan keatas sebuah bilik yang dikunci dari dalam dibuat sebelum menemukan pasangan terbabit.

Siasatan mendapati mereka tiada hubungan suami isteri ataupun mahram.

Bagaimanapun selepas kejadian itu, pasangan terbabit mengambil keputusan untuk berkahwin iaitu pada 30 November 2017.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Nurul Hajja Mustafa.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment