Dua kereta bertembung, seorang maut

Monday, March 12, 2018

Dua kereta bertembung, seorang maut

Dua kereta bertembung, seorang maut

MARANG - Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 36, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan berhampiran Penjara Marang di sini, hari ini.

Dalam kejadian lebih kurang jam 3.10 petang itu, mangsa, Lukman Al Hakim Wahab, 30, tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Wira selepas kereta dinaiki dipercayai bertembung Perodua Bezza.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Marang, Hasan Embong berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.15 petang dan tiba di lokasi sejurus kemudian sebelum bertindak mengeluarkan mangsa.

"Setiba di lokasi, seorang lelaki didapati tersepit dalam sebuah Proton Wira dan kami memotong kenderaan itu untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan.

"Bagaimanapun, kes itu diserahkan kepada pihak polis selepas mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian" katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan tersebut, pemandu Proton Wira serta penumpang belakang serta seorang lagi pemandu Perodua Bezza turut cedera dan ada diantara tiga mangsa terbabit mengalami kecederaan parah.

Kesemua tiga mangsa yang mengalami kecederaan itu kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment