Datuk minta habuan RM3j

Friday, March 2, 2018

Datuk minta habuan RM3j

Datuk minta habuan RM3j

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk kerana dipercayai menerima RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Difahamkan, suspek berusia 64 tahun itu menerima wang daripada syarikat pembinaan utama projek berkenaan selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

Sumber berkata, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM3 juta menerusi empat transaksi pada tahun lalu.

Difahamkan, pada asalnya, suspek meminta RM4 juta sebagai habuan bagi menutup kes dalam siasatan SPRM itu, namun dikurangkan kepada RM3 juta selepas rundingan.

Sumber berkata, suspek ditahan di sekitar ibu negara kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Suspek adalah individu kedua yang ditahan SPRM kerana dipercayai menerima wang bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut itu.

Selasa lalu, SPRM menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana dipercayai menerima wang berjumlah RM19 juta bagi menutup kes terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

Beliau juga meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan kes itu, selain memberi masa kepada SPRM untuk menyiasat dengan terperinci.

Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman, esok.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment