Dari luar nampak biasa, tapi...

Saturday, March 17, 2018

Dari luar nampak biasa, tapi...

Dari luar nampak biasa, tapi...

DARI luar, kediaman teres setingkat terletak di Taman Desa Ixora, Senawang Seremban ini kelihatan hanya biasa-biasa sahaja, tiada yang istimewa.

Namun, siapa sangka rumah milik pasangan suami isteri, Mohd Rizal Salikon, 40, dan Zaiton Ahmad, 37, ini kini menjadi destinasi pilihan orang ramai untuk menjamu selera sama ada untuk sarapan pagi, makan tengah hari atau minum petang.

Semuanya bermula apabila rumah Mohd Rizal sering dikunjungi tetamu dari pelbagai negeri yang datang mahu membeli dan melihat koleksi barangan lamanya.

“Sebenarnya sudah lebih 13 tahun saya  mengumpul barangan lama yang pada awalnya hanya untuk tujuan dekorasi rumah sendiri.

“Tapi, lama kelamaan dah terlalu banyak barang dikumpulkan dan saya mula terfikir untuk menjualnya. Saya iklankan di Facebook, Intagram dan blog. Saya tak sangka ramai yang bertanya dan sanggup datang dari jauh.

“Setiap kali tetamu yang datang, saya akan hidangkan air atau bersama kudapan. Ada yang beri cadangan supaya saya jadikan konsep hidangan itu sebagai satu bisnes dan dari situ ia bermula,” katanya.

Konsep kafe di rumah yang diperkenalkan oleh Mohd Rizal bukan seperti perniagaan kedai makan atau restoran lain sebaliknya lebih kepada konsep santai seakan menjamu selera di rumah sendiri.

Tempahan tiga hari awal

Pelanggan perlu membuat tempahan sekurang-kurangnya tiga hari awal dan memilih menu masakan kampung yang dicadangkan atau boleh membuat permintaan menu yang diingini.

“Kita ada sarapan pagi bermula jam 9 pagi, makan tengah hari bermula jam 12 tengah hari dan minum petang bermula jam 3 petang yang dibuka pada setiap hari.

“Kalau pelanggan buat tempahan, baru kita masak. Dengan syarat ia hanya masakan kampung. Analoginya seperti orang datang makan di rumah kita, tapi kita minta bayaran,” katanya.

Menurutnya, harga ditawarkan dengan tiga kategori iaitu pakej, medium dan premium bermula RM15 sehingga RM35 satu kepala.

Sambil menikmati sajian masakan kampung air tangan isterinya, pengunjung juga boleh melihat koleksi barangan lama Mohd Rizal yang menghiasi dari luar rumahnya sehingga ke ruang dapur.

Tidak keterlaluan jika penulis katakan seperti memasuki ‘galeri barangan lama’, sungguh berseni dan mengasyikkan mata memandang.

“Biasanya pengunjung akan ambil masa lebih dua jam bersembang dan bersantai di sini, sambil melihat koleksi barangan lama di ruang tamu rumah saya.

“Bagi saya bila ada yang datang, mereka ini bukan pelanggan, tapi tetamu. Mereka kongsi dengan saya seronok datang ke sini, kerana dapat mengimbau kenangan bersama nenek moyang dahulu kerana katanya, seperti pergi pulang ke kampung,” katanya.

Malah, jika bernasib baik, pelanggan juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana akan dihadiahkan cenderahati sebagai kenangan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment