Akta Mesin Cetak dan Penerbitan akan disemak semula
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar ia bersesuaian dengan keadaan semasa.
Berucap pada Majlis Makan Tengah Hari bersama Ketua-Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkara itu perlu dilakukan memandangkan media hari ini hampir dikuasai media alternatif.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedaya upaya mahu beri kebebasan semua penulisan, penerbitan dan penyiaran yang tidak terlalu terkongkong dengan garis panduan.
"Ia mungkin sesuai pada masa dulu tapi hari ini ianya perlu dimodifikasikan tanpa mengkompromikan etika kewartawanan," katanya.
Kali terakhir Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda adalah pada 2012.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, KDN telah mengeluarkan satu surat amaran tegas, dua surat amaran, 14 surat teguran, 44 surat nasihat dan empat surat tunjuk sebab kepada media dan pencetak pada tahun lepas.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga sedar kebanyakan syarikat media tradisional baik media elektronik dan cetak hari ini menghadapi cabaran dari segi pendapatan yang kian berkurangan kerana majoriti kini lebih memilih media bukan tradisional.
Katanya, kebanyakan media tradisional juga dianggap bersikap berat sebelah kepada kerajaan dalam berita yang disampaikan.
Dalam menghadapi cabaran tersebut, Ahmad Zahid berkata, KDN harus dilihat sebagai rakan kongsi dan bukan pihak berkuasa yang terus memberi tekanan pada industri.
"Kita saling memerlukan dan kalau dulu pena dianggap lebih tajam daripada senjata, sekarang pena bertukar ke maklumat di hujung jari. Ini cabaran untuk media dan KDN," katanya.
Ahmad Zahid pada majlis yang sama turut mengumumkan tanda pagar #mediacouncil bagi mengumpul cadangan daripada pengamal media untuk memperkukuh dan menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya sesuai dan relevan dengan situasi semasa.
"Melalui #mediacouncil juga, kita akan membincangkan kebaikan dan keburukan mengenai cadangan penubuhan majlis media sebagai pengawalseliaan sendiri," katanya.
Pada sesi soal jawab majlis itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa cadangan tersebut ke mesyuarat Kabinet agar Google dan Facebook dikenakan cukai pada masa depan. - BERNAMA
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment