16 beranak terpaksa berhimpit

Monday, March 19, 2018

16 beranak terpaksa berhimpit

16 beranak terpaksa berhimpit

MUAR - Terpaksa berhimpit 16 orang dalam sebuah rumah kecil menjadi rutin hidup ditanggung lima keluarga kerana ada sebahagian mereka terhalang mencari rezeki lantaran kekurangan diri.

Rafidah Mohammad, 27, berkata, kehidupan mereka yang serba kekurangan menjadi lebih sukar apabila ada beberapa adik beradiknya tidak lagi mampu bekerja dan terpaksa berpindah ke situ.

Wanita yang juga seorang mualaf ini berkata, dia terpaksa tinggal bersama ibunya selepas berpisah dengan suami tahun lalu kerana tiada tempat untuk berteduh.

“Selepas berpisah dengan suami, saya bersama dua anak berusia 5 dan 9 tahun terpaksa pindah ke rumah sewa yang dihuni ibu dan abang. Keadaan kesihatan ibu menyebabkan dia tak boleh kerja.

“Ketika ini, pendapatan utama hanya diharapkan kepada abang  yang jual kacang rebus. Jualan itu pun tak menentu sebab selalunya memang tak habis,” katanya.

Rafidah berkata, setiap hari abangnya akan meraih sekitar RM50 ke RM80 hasil keuntungan jualan termasuk keprihatinan masyarakat yang bersedekah.

“Selalunya jualan kacang sehingga puluhan bungkus yang kami bekalkan itu memang tak habis dijual, kebanyakan wang itu adalah hasil sedekah orang ramai. Selain abang, saya juga bantu dengan ambil upah bersihkan rumah orang.

“Dapatlah RM30 untuk sebuah rumah. Itu pun tak selalu ada orang panggil, dalam seminggu, dua atau tiga kali dapat upah. Keuntungan yang kami peroleh ini biasanya digunakan untuk belanja dapur, bayar sewa rumah RM350 termasuk keperluan persekolahan enam kanak-kanak yang masih bersekolah,” katanya.

Rafidah berkata, ibunya yang juga mualaf kini tidak mampu berdiri kerana kencing manis dan darah tinggi.

Sementara itu, kakaknya, M Umamaheseswari, 33, mengakui terpaksa tinggal di rumah itu bersama tiga anaknya selepas berpisah dengan suami.

Manakala, seorang lagi adik lelaki mereka berusia 29 tahun juga terpaksa berpindah di situ bersama isteri dan tiga anaknya selepas tidak mampu lagi bekerja setelah tangan kirinya cacat gara-gara kemalangan tahun lalu.

Selain upah menjual kacang dan membersihkan rumah, keluarga ini turut menerima RM400 dari kakaknya yang bekerja di Singapura meminta bantuan menjaga seorang anak selain wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 kerana kecacatan tangan adik lelakinya.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Adun Maharani, Dr Mohammad Taslim.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment