1 maut, 6 cedera kereta bertembung

Sunday, March 11, 2018

1 maut, 6 cedera kereta bertembung

1 maut, 6 cedera kereta bertembung

KAMPAR: Seorang maut manakala enam lagi cedera, termasuk tiga parah, dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang bertembung di Kilometer 17.6 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Rumah Pengasih Amanjaya, Gopeng di sini, malam tadi.

Nahas 7.35 malam itu membabitkan Perodua Myvi dinaiki dua lelaki dan Proton Saga dinaiki lima sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata kemalangan itu mengakibatkan penumpang hadapan Myvi, A Santhiran, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang memandu kereta itu, S Gunaseelan, 31, parah dan kini koma.

Lima sekeluarga yang menaiki Proton Saga iaitu pemandu Nurzeatun Anuar, 28; Anuar Zakaria, 64; Rahimah Mohd Isa, 59; Norlia Anuar, 26 dan Dhia Adieera Nizar Hamidi, 3, cedera.

"Siasatan awal mendapati kereta Myvi dinaiki dua lelaki beralamat di Kampung Seri Jaya, Jalan Gopeng, Batu Gajah dekat sini dari arah Kampar ke Ipoh melanggar pembahagi bahu jalan sebelah kiri sebelum terbabas memasuki ke laluan bertentangan.


SEORANG maut manakala enam lagi cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang bertembung di Kilometer 17.6 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Rumah Pengasih Amanjaya, Gopeng. - Foto ihsan Bomba dan PDRM

"Pada masa sama kereta dinaiki lima sekeluarga dipandu Nurzeatun yang bekerja sebagai kerani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar datang dari arah bertentangan dan gagal mengelak lalu bertembung kereta yang terbabas itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kong Soon berkata, akibat pertembungan itu, Santhiran mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Gunaseelan patah kedua-dua kaki serta tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Nurzeatun cedera di kaki dan badan, bapanya Anuar mengalami kecederaan dalaman dan sesak nafas manakala ibunya patah kaki kanan dan adik perempuannya parah dengan kecederaan di muka selain seorang kanak-kanak perempuan mengalami luka-luka di bahagian badan.

"Semua mangsa yang cedera dihantar ke HRPB manakala mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat yang dijalankan jam 10 malam tadi," katanya.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan kes kini masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment