Rayna cipta kejutan raih gangsa pada Kejohanan Asia
GIMNAS remaja Malaysia, Rayna Hoh Khai Ling mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa pada Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Asia ke-16, hari ini.
Pada kejohanan berlangsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur itu, gimnas negara berusia 15 tahun itu mengumpul 54.550 mata dalam acara all-around individu.
Seperti dijangka gimnas Uzbekistan Ekatarina Fetisova memenangi pingat emas selepas mengumpul 57.000 mata, manakala rakan senegaranya Lola Zakirova meraih perak dengan kutipan 55.650 mata.
Seorang lagi gimnas Malaysia dalam saingan melibatkan 16 peserta itu, Iris Hoo Xin En menamatkan kempen di kedudukan ke-15 dengan 46.550 mata.
"Saya tidak menjangka dapat memenangi pingat dalam acara ini keranan saingan cukup sengit. Saya sudah cuba memberi yang terbaik dan tiada apa-apa hendak diperkatakan.
âSaya sepatutnya boleh melakukan yang terbaik. Pencapaian terbaik saya ialah pada Sukan Komanwel Belia 2016 di Namibia dengan memenangi empat pingat emas dan satu perak,â kata pelajar Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas itu.
Cabaran Rayna seterusnya adalah dalam apparatus individu final esok.
âSaya tidak menetapkan sebarang sasaran. Saya hanya mahu menampilkan aksi terbaik dan melakukan rutin dengan sempurna,â katanya.
Dalam saingan hari ini, Rayna mengutip 13.850 mata dalam apparatus gelung dan 14.300 mata bagi apparatus bola.
Sementara dalam belantan dan riben, Rayna mengutip masing-masing 13.200 mata untuk jumlah keseluruhan 54.550 mata.
Dalam pada itu, pasukan gimnas remaja Malaysia terlepas peluang meraih pingat gangsa acara lima gelung berkumpulan apabila menamatkan cabaran di kedudukan keempat selepas mengumpul 11.950 mata.
China memenangi pingat emas dengan 14.850 mata, manakala Kazakhstan dan Jepun masing-masing meraih perak dan gangsa dengan kutipan 13.100 dan 12.350 mata. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment