Hajat nak kahwin tak kesampaian

Wednesday, May 30, 2018

Hajat nak kahwin tak kesampaian

Hajat nak kahwin tak kesampaian

MERSING - Hasrat seorang lelaki melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihan hati pada Oktober ini, tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Jalan Mersing-Endau dekat Kampung Tenglu di sini, malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Iskandar Shahrizal Yusof, 29, ditemui rentung di dalam kereta Perodua Myvi dipandunya yang terbakar selepas terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres dalam kejadian jam 11 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas keretanya terperosok di bawah bas akibat kemalangan berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan terbabit terbakar keseluruhan.

Teman wanitanya, Nurul Aini Syuhada Kamarul Zaman, 29, berkata, ketika kejadian, Iskandar dalam perjalanan pulang ke Bandar Tenggara, dekat Kota Tinggi selepas menghantarnya pulang ke kampung halaman di Kampung Tanjung Gemok, di sini.

“Saya bekerja sebagai jururawat di Hospital Kluang. Dia selalu hantar saya balik kampung sebab dia risau kalau saya memandu seorang diri dan malam itu dia sempat berbuka puasa dengan keluarga saya.

“Dua minggu kebelakangan ini, dia sering bercerita bahawa dia bermimpi terlibat dalam kemalangan jalan raya. Saya nasihatkan dia itu semua mainan mimpi dan saya tidak menyangka perkara itu benar-benar terjadi,” katanya, semalam.

Nurul Aini berkata, tiada banyak perubahan Allahyarham sebelum ini.

Katanya, namun pada malam kejadian, Iskandar berulang-kali menzahirkan perancangan untuk melangsungkan perkahwinan.

Selain itu, beliau berkata, bakal suaminya itu juga kerap meminta maaf sekiranya ada melakukan kesilapan dan kesalahan sepanjang mereka kenal.

Nurul Aini menzahirkan perasaannya dalam Facebook miliknya.

“Kami bercadang hendak melangsungkan perkahwinan pada bulan Oktober ini dan segala persiapan kami hendak bincang selepas raya nanti, namun semuanya kini tinggal kenangan,” katanya.

Nahas arah bertentangan

Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 11.25 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Endau serta Mersing ke lokasi kejadian bersama jentera.

“Sebuah bas (ekspres) dan kereta telah terbakar keseluruhan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Mangsa di dalam bas semua selamat, namun terdapat satu mangsa rentung di dalam kereta,” katanya.

Mohd Alias yang bertindak sebagai ketua operasi turut memaklumkan kesemua 11 mangsa termasuk pemandu di dalam bas terselamat kecuali seorang mangsa di dalam kereta yang rentung.

Difahamkan, identiti mangsa yang rentung tidak dapat diperolehi di lokasi kejadian kerana kenderaan dan mangsa telah terbakar serta berada di bawah bas tersebut.

Bas terbabit dipercayai dari arah Mersing ke Endau manakala kereta berkenaan dari arah bertentangan.

Seramai 17 anggota berserta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Endau dan Mersing ke lokasi kejadian manakala operasi tamat sekitar jam 3 pagi.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Mersing dan akan dikebumikan di kampung halamannya di Bandar Tenggara.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment