Azwan bukan gila glamor
HULU KELANG: Azwan Ali, 52 atau lebih dikenali sebagai Diva AA, bertanding bukan kerana glamor tetapi dia mahu membela nasib rakyat.
Menurut selebriti itu, dia bertanding sebagai calon Bebas untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi DUN Bukit Antarabangsa demi sebuah perjuangan.
Dia menentang penyandang yang juga abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Jelas Azwan, inilah pengalaman pertama selepas 30 tahun bergelar anak seni terjun dalam perjuangan dan percaturan politik negara.
"Saya sedar saya bukan ahli politik yang hebat dan bukan sesiapa dalam politik tetapi jangan sesekali menghakimi saya sesuka hati. Saya bekas pelajar terbaik Institut Teknologi Mara (ITM) Dungun, Terengganu (1987-88 - ketika itu belum berstatus universiti).
"Kemudian saya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) dan lulus ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (1991) serta tersenarai lima pelajar Melayu terbaik. Jadi kenapa saya terus dikecam dan dihina tak layak bertanding hanya kerana saya dikatakan 'sukakan perhatian' dan gila glamor.
"Kepada 'haters' di luar sana, muhasabahlah. Selepas arwah Datuk Surdiman Arshad, saya rasakan negara hilang bintang legenda yang hebat, mungkinkah saya penggantinya dan salahkah saya bertanya," katanya.
Azwan berkata, sejak dia mengumumkan untuk bertanding dalam PRU14, laman sosial Instagramnya (IG) sudah empat kali digodam.
"Kali pertama IG atas nama Diva Azwana Vazz digodam ketika pengikut mencecah 200,000 orang. Kali keempat digodam pagi tadi iaitu ketika pengikut sudah mencapai 10,000 orang. Saya tidak akan membuka IG baru.
"Saya syak ini kerja musuh PRU14 yang marah dengan kelebihan saya. Dengan kehilangan saya di alam siber ada hikmahnya dan saya yakin ramai yang rindukan IG Diva AA kerana tidak dapat melihat lagi gelagat saya.
"IG saya memang viral penuh dengan pelbagai kontroversi. Kepada yang terasa kehilangan saya, mereka boleh layari Facebaok saya atas nama Azwan Ali dan Fanpage saya iaitu Channel Diva AA.
"Ia adalah stesen TV saya yang boleh ditonton menerusi talian diusahakan dengan rakan kongsi bangsa asing. Jangan pertikaikan dengan siapa saya bekerjasama kerana mereka tidak akan 'membunuh' saya," katanya.
Ulas Azwan lagi, dia mahu bertanding selepas teruk dikecam, antaranya cemburu dengan abang sendiri, badut dan tidak layak bertanding kerana nak glamor.
"Saya tak kisah kalah dan hilang wang pertaruhan, saya niatkan sedekah saja pada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Tetapi ingat, jika Azmin Ali masih dipilih, jangan terkejut bala besar akan menimpa," katanya.
Teras utama perjuangan Azwan, rakyat nombor satu. Dia fokus kepada lima agenda iaitu turun padang setiap hari, hapus politik rasuah serta merta, masalah air diselesaikan, rumah mampu milik dan acara sedekah setiap minggu selama lima tahun.
Azwan pilih logo gajah kerana haiwan itu besar, berani dan berkuasa.
Ketika dihubungi tadi, Azwan sedang menyediakan rendang daging dan ayam di kawasan perniagaan Bukit Antarabangsa untuk diagihkan kepada orang ramai.
"Saya sediakan untuk 200 orang iaitu #siapacepatdiadapat. Agihan rendang itu akan dimulakan pada jam 5 petang ini yang turut menyediakan pelbagai acara termasuk sesi karaoke," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment