Terpaksa henti solat tarawih

Tuesday, May 29, 2018

Terpaksa henti solat tarawih

Terpaksa henti solat tarawih

POKOK SENA - Penghuni Maahad Tahfiz Ar Rahman di Kampung Apil di sini terpaksa menghentikan solat tarawih selepas pusat pengajian itu dinaiki air, semalam.

Mudirnya, Muhamad Mushfi Abd Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, keadaan pada masa itu sangat kelam kabut dengan aliran air yang deras sehingga terpaksa mengarahkan pelajarnya melaungkan azan.

“Pada waktu itu saya lihat air naik dengan cepat hingga ke kaki lima tempat pelajar perempuan solat. Kejadian itu menyebabkan pelajar mula bangun dan mula mengangkat beberapa barang penting untuk diselamatkan.

“Bagaimanapun tidak lama kemudian air sudah mula masuk ke dalam asrama pelajar lelaki dan dapur hingga beberapa bekalan beras dan kurma yang disimpan untuk Ramadan tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Menurut Muhamad Mushfi, pada tahun ini sudah dua kali pusat pengajian agama itu mengalami banjir selepas Januari lalu.

Kedudukan maahad yang terletak di tepi parit menyebabkan aliran air dari bukit berdekatan serta jalan utama masuk ke kawasan pengajian.

“Setiap kali hujan seluruh warga maahad di sini akan bimbang kawasan ini ditenggelami air. Keadaan ini bertambah serius lagi dengan perparitan yang tidak diselenggara pihak bertanggungjawab.

“Banjir juga turut menghakis laluan masuk ke situ hingga tembok serta tiang mulai condong ke parit. Oleh itu saya sangat berharap pihak berwajib dapat selenggara sistem perparitan itu bagi mengelak hakisan berlaku dengan lebih serius lagi,” katanya.

Pelajar, Mohd Nafiz Ariffin, 14, berkata, air semakin naik ke dalam kelas ketika mereka melakukan solat tarawih pada rakaat 14.

“Disebabkan air makin deras dan petir sangat kuat, beberapa pelajar turut membaca Yasin serta memohon doa supaya hujan berhenti.

“Sebelum ini pernah juga berlaku banjir tetapi tidak serius seperti semalam hingga kami terpaksa berjaga sampai jam 3 pagi bagi memantau keadaan banjir. Bagaimanapun selepas membaca Yasin hujan mula perlahan dan air juga semakin surut,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment