Padah abai kebersihan, 16 notis dikeluarkan
KEMAMAN - Akibat tidak mematuhi aspek kebersihan dalam pengendalian jualan makanan, sebanyak 16 notis kesalahan melibatkan denda berjumlah RM2,000 dikeluarkan terhadap peniaga di bazar Ramadan daerah ini sepanjang dua minggu pertama berpuasa.
Daripada jumlah itu, lapan kesalahan yang dilakukan ialah tidak memakai apron, empat kes tiada suntikan anti Typhoid dan empat lagi pengabaian kebersihan diri pengendali makanan.
Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, walaupun semua pengusaha terlibat telah diberi peringatan melalui beberapa siri seminar dan pendidikan kesihatan sebelum Ramadan lalu, namun masih terdapat segelintir pengendali yang masih degil dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan hasil pemeriksaan yang dilakukan pihaknya.
Katanya, 16 notis kesalahan berkenaan dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Dari pemeriksaan yang dilakukan kita turut mengambil sebanyak lapan sampel makanan untuk dianalisa kandungan mikrobiologi bagi mengesan bakteria patogenik yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air dan makanan khususnya keracunan makanan.
"Kita mahu mencegah kes keracunan dan kita juga beri peringatan kepada semua peniaga agar sentiasa memastikan tahap kebersihan yang terbaik dengan mengamal pengendalian makanan yang bersih dan selamat," katanya.
Anuar berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen bersepadu yang diadakan di pekarangan Bazar Ramadan Jalan Padang Astaka, Cukai, di sini, kelmarin.
Jangan jual makanan tidak habis yang dipanaskan semula
Anuar memberitahu, peniaga yang didapati menjual makanan yang dicemari bakteria patogenik yang berpunca daripada amalan penyediaan makanan tidak bersih boleh didakwa ke mahkamah.
Jika sabit kesalahan, katanya, peniaga yang menjual makanan yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai boleh didenda sehingga RM100,000 di bawah Akta Makanan 1983.
Menurut beliau, antara punca yang sering berlaku keracunan makanan adalah disebabkan amalan menjual makanan yang tidak habis dan dipanaskan semula.
"Orang ramai seharusnya menggunakan 'kuasa beli' dengan hanya membeli di premis dan penjual yang sentiasa mengamalkan kebersihan. Amalkan konsep lihat, hidu dan bau sebelum menikmati juadah berbuka agar dapat mencegah termakan makanan basi dan tercemar," katanya.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, pada tahun ini sebanyak 11 buah bazar Ramadan yang melibatkan sebanyak 773 buah premis dan 1,546 orang pengendali makanan yang terlibat akan dibuat pemeriksaan kebersihan premis.
Daripada jumlah itu sebanyak tiga bazar adalah di bawah kendalian pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dengan jumlah premis paling banyak iaitu Bazar Jalan Padang 216 buah gerai, Binjai (78) dan Geliga (76).
Tambahnya, sehingga sekarang sebanyak 292 tapak penjaja di lima lokaliti bazar berdaftar telah diperiksa melibatkan seramai 532 pengusaha dan pengendali makanan.
Laksana empat kempen serentak, tingkat amalan kebersihan
Ditanya mengenai kempen bersepadu berkenaan, Anuar memaklumkan ia melibatkan empat kempen yang berjalan serentak iaitu Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan, Nafas Baru Bermula Ramadan, Kemaman Bebas Denggi dan Amalan Makan Secara Sihat sempena bulan Ramadan ini.
Kempen yang dimulakan sejak awal Ramadan lalu dianjurkan bersama antara Pejabat Kesihatan Kemaman dengan kerjasama MPK dan dirasmikan Yang Dipertuanya, Johan Ibrahim.
Mengenai Kempen Amalan Makan Secara Sihat, pihaknya menyampaikan nasihat kepada orang ramai agar memanfaatkan keberkatan Ramadan untuk melakukan perubahan dengan pengambilan makanan secara sihat dan seimbang berkonsepkan saiz hidangan suku-suku separuh semasa berbuka dan bersahur.
"Hidangan yang sederhana ini melibatkan suku bahagian karbohidrat, suku protein dan separuh sayur-sayuran dan buah-buahan," jelas beliau.
Selain itu katanya, kempen lain yang turut dijalankan secara serentak adalah Kempen Nafas Baru Ramadan, iaitu mengajak orang ramai merebut peluang di bulan yang mulia ini sebagai titik permulaan berhenti merokok.
Jelasnya, pihaknya membantu dengan merujuk orang awam yang mahu berhenti merokok ke Klinik Berhenti Merokok (KBM) yang ada di semua klinik kesihatan.
"Sehingga kini sebanyak 177 klien telah berdaftar di KBM dan 82.6 peratus daripadanya telah berjaya berhenti merokok," kata beliau.
Denggi catat penurunan kes
Berkaitan dengan penyakit demam denggi, katanya, berlaku penurunan kes sebanyak 13.3 peratus iaitu daripada 15 kes pada tahun lepas kepada 13 kes dalam tempoh minggu yang sama.
Sehubungan itu beliau meminta kerjasama masyarakat supaya berwaspada dengan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penularan penyakit tersebut.
"Sepanjang tempoh Ramadan ini, pihak Pejabat Kesihatan Kemaman turut meningkatkan kempen bebas denggi di semua bazar Ramadan, masjid, pasar raya dan tempat-tempat tumpuan awam.
"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu yang sering berlaku hujan boleh meningkatkan lagi pembiakan nyamuk aedes," katanya.
Sementara itu, Johan berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah dalam aktiviti pemeriksaan bazar Ramadan dan bagi mengekalkan tahap kebersihan, pertandingan kebersihan premis di bazar-bazar di bawah kendaliannya turut dianjurkan.
Beliau juga menasihatkan peniaga agar sentiasa meningkatkan tahap kebersihan terutama dalam aspek pengurusan sampah dan sisa-sisa makanan.
Selain itu, sebanyak 200 helai apron turut diedar secara percuma kepada pengendali di bazar berkenaan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment