Guna alasan cari 'Din' sebelum samun

Thursday, May 31, 2018

Guna alasan cari 'Din' sebelum samun

Guna alasan cari 'Din' sebelum samun

PONTIAN - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan samun warga emas dengan menyamar sebagai anggota polis di sekitar daerah ini sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, lelaki berusia 52 itu ditahan unit peronda MPV polis di Jalan Sinar Harapan, Pekan Nanas jam 4.30 petang pada 19 Mei lalu.

“Mangsa seorang wanita warga emas berusia 60 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya di Telok Kerang didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis jam 3.15 petang.

“Suspek menggunakan alasan hendak mencari seorang lelaki Indonesia bernama Din untuk masuk ke dalam rumah mangsa dan bertindak mengacukan sebilah pisau ke arah perut mangsa,” katanya.

Jelasnya, suspek merentap dua rantai leher dan seutas gelang dianggarkan bernilai RM5,000 dari tangan pengadu dan seterusnya melarikan diri menaiki motosikal.

“Maklumat nombor pendaftaran motosikal yang diberikan mangsa memudahkan polis mengesan suspek iaitu hanya dalam tempoh setengah jam selepas mangsa membuat laporan polis.

“Polis percaya suspek menjadikan wanita warga emas sebagai sasaran jenayah samun dengan taktik menyamar sebagai anggota polis tanpa mengenakan uniform anggota polis,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, semalam.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 28 dan 34 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian ragut seorang wanita berusia 60 tahun di Jalan Sawah Pekan Nanas jam 10.30 pagi pada 22 Mei lalu.

Mustafa berkata, akibat kejadian ragut itu, mangsa luka pada tangan, mulut serta badan selepas beg sandang ditarik suspek yang datang dari arah belakang menaiki sebuah motosikal.

“Bertindak atas maklumat diberikan mangsa, polis berjaya mengesan suspek pertama berusia 28 tahun di Pekan Nanas kira-kira jam 5 petang.

“Seterusnya suspek berusia 34 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Air Putih Pekan Nanas berdasarkan maklumat dari suspek pertama. Kedua-dua tangkapan suspek dibuat pada hari yang sama kejadian ragut berlaku.

“Antara barang yang dirampas dari suspek dalam tangkapan tersebut  ialah tiga kad ATM sebuah motosikal, sebuah kereta dan dua telefon bimbit, “katanya.

Menurut Mustafa, polis percaya dapat selesaikan tujuh kes ragut di kawasan Pekan Nanas bagi tempoh Mac hingga Mei tahun ini melibatkan kedua-dua suspek.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment