Cabutan bertuah Perodua Myvi menanti
SHAH ALAM - Indah Water Konsortium (IWK) melancarkan sistem e-Bill awal Mei lalu sebagai menggalakkan pengguna membayar bil dalam talian menggantikan kaedah manual.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman berkata, pihaknya menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah Perodua Myvi bagi yang mendaftar sebelum 31 Ogos ini.
Menurutnya, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya sepuluh peratus daripada 3.6 juta pemilik akaun IWK memanfaatkan peluang tersebut.
"Sebanyak 8,000 pendaftaran telah terkumpul setakat ini dan jumlah itu dijangka terus meningkat sebelum 31 Ogos ini.
"Setiap pendaftaran melalui laman web www.iwk.com.my berpeluang menang hadiah mengikut terma syarat termasuk tunggakan sifar," katanya pada majlis tanggung jawab sosial korporat sempena Ramadan di Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari di Kampung Melayu Subang.
Katanya, langkah tersebut adalah inisiatif kesedaran kepada pengguna tentang kepentingan pembayaran bil serendah RM2 sehingga RM8 sebulan yang dihantar setiap empat bulan sekali.
"Sejumlah 6,700 loji di bawah penyelenggaraan IWK dan sekurang-kurangnya 200 tambahan unit didaftarkan setiap tahun melalui pertambahan perumahan baharu serta pembangunan.
"Sebanyak RM800 juta dibelanjakan bagi kos penyelenggaraan IWK sementara perolehan hasil hanya RM650 juta memerlukan subsidi daripada kerajaan," katanya.
Tambahnya, sejak beroperasi 1994 kadar bil dikekalkan antara kadar bil terendah berbanding perkhidmatan lain dan kesedaran pembayarannya menunjukkan perkembangan positif.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment