Kekalkan tadbir urus yang baik di Perak

Tuesday, May 29, 2018

Kekalkan tadbir urus yang baik di Perak

Kekalkan tadbir urus yang baik di Perak

IPOH - Kerajaan negeri diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan terhadap keputusan pentadbiran terdahulu terutamanya membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu tidak akan menggambarkan tadbir urus baik kerajaan sekaligus membelakangkan kepentingan rakyat.

“Jadi bagi saya, Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri perlu beri perhatian. Jangan gopoh mengambil apa-apa tindakan. Jangan ambil tindakan kerana dendam atau iri hati.

“Tetapi keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan good governance untuk memastikan tiada yang menyalahgunakan keistimewaan untuk kepentingan penyokong atau kroni-kroni,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Exco negeri yang turut disertai Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu di sini, semalam.

Menurutnya, tiada masalah kepada kerajaan negeri untuk mengekalkan GLC yang cekap serta mempunyai prestasi baik.

Anwar (tengah) dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Exco negeri, semalam.

“MB dan kerajaan negeri memikirkan sesuai diteruskan, saya tidak ada pandangan negatif. Apa yang baik dari pentadbiran lalu kita terima.

“Sebaliknya terbukti berlaku pembaziran, pertindihan peranan dalam agensi atau jabatan sedia ada dan pembayaran elaun-elaun keterlaluan kepada tokoh politik seperti di kerajaan Persekutuan, ini harus dihentikan,” katanya.

Katanya, beliau turut menyarankan kerajaan negeri mematuhi tindakan kerajaan Persekutuan menerusi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memotong 10 peratus gaji anggota Kabinet.

Pada masa sama, Anwar turut mengingatkan kepada kepimpinan negeri mengenai keperluan memenuhi aspirasi rakyat selain menjaga integriti bagi menjamin kerajaan negeri bersih dari pembaziran dan rasuah.

Terdahulu beliau turut memaklumkan mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di ibu negara.

“Saya turut gembira kerana kesediaan baginda memastikan hubungan cukup baik kerajaan negeri dan beri nasihat serta pandangan membantu mengangkat kemajuan dan kejayaan negeri Perak,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment