Pokok hempap empat kereta
KUALA LUMPUR: Pemandu dan penumpang empat kereta nyaris maut apabila sebatang pokok tumbang dan menghempap kenderaan mereka di Jalan Lapangan Terbang Subang, dekat sini, hari ini.
Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan empat kereta itu yang menghala ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang rosak.
Pegawai Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Siti Ramizah Mohd Khalid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang berada di lokasi jam 5.26 petang sebelum tujuh anggota dikejarkan ke lokasi bagi membersihkan pokok berkenaan yang merentang di tengah laluan.
"Sebatang pokok besar yang berada di bahu kiri jalan tumbang dan menghempap empat kenderaan. Bagaimanapun semua pemandu dan penumpang kenderaan tidak cedera kerana sempat keluar daripada kenderaan.
"Operasi yang turut dibantu anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu tamat kira-kira jam 8.30 malam dan sementara operasi dilakukan, jalan ditutup kepada kenderaan," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata, Jalan Jati dan Subang Perantau, di sini, dilanda banjir kilat kira-kira jam 5 petang ekoran hujan lebat.
"Air naik setinggi 0.5 meter, namun tiada mangsa dilaporkan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment