Noor Atifah yang dirindui
SUNGAI BESAR: "Sehingga hari ini, saya dan isteri (Noor Atikah) masih merindui arwah (Noor Atifah) meskipun sudah tiga bulan dia meninggal dunia.
"Malah, hampir setiap hari kami akan ke kuburnya sehingga air mata ini tidak berhenti mengalir kerana teringatkan gelak tawa dan keletahnya," kata Abi Suffian Abdul Mutalip, 34.
Abi Suffian ketika ditemui pemberita berkata, kehilangan anaknya yang berusia dua tahun itu begitu terasa, terutama pada saat umat Islam menyambut Ramadan.
"Ketika hayatnya, arwah sering bersama saya mengusik isteri ketika dia sibuk melakukan sesuatu termasuk ketika menyiapkan hidangan.
"Tetapi, semua itu tinggal kenangan dan saya sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi. Saya anggap ini ujian kepada kami," katanya.
NSTP sebelum ini melaporkan kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat disambar api di rumahnya di Parit 12, Sungai Nibong, 22 Februari lalu.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, Noor Atifah, bertarung nyawa selama tiga hari di Hospital Sungai Buloh (HSB) sebelum disahkan meninggal dunia berikutan melecur 95 peratus pada keseluruhan badan.
Abi Suffian berkata, Aidilfitri tahun ini juga tidak bermakna tanpa kelibat Noor Atifah yang selama ini menceriakan suasana.
"Raya kali ini disambut secara sederhana. Tambahan pula, isteri tidak berapa kuat seperti dahulu disebabkan kesan melecur ketika cuba menyelamatkan arwah.
"Lebih terkesan, isteri turut trauma setiap kali melihat orang membakar ikan menggunakan minyak petrol, seolah-olah mengingatkannya kepada kejadian itu," katanya.
Abi Suffian berkata, Noor Atikah kini menjalani rawatan susulan di Klinik Kesihatan Simpang Lima.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment