Sukarelawan Masjid UPM sedia juadah berbuka dalam talam
MAJLIS berbuka puasa beramai-ramai pada bulan Ramadan bukanlah sesuatu yang asing di negara ini.
Menariknya Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor memilih untuk berbuka puasa beramai-ramai dengan hidangan dalam talam.
Pengarah Pusat Islam UPM, Mat Razi Abdullah berkata, sudah menjadi tradisi berbuka puasa di sini dihidangkan dalam talam yang dikongsi makan bersama-sama. Dengan cara ini, ia dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama jemaah terdiri daripada staf, penuntut dan ahli kariah masjid.
"Tradisi diamalkan setiap tahun ini diharap dapat menggandakan pahala bagi mereka yang memberi sumbangan dan membantu secara sukarela dalam mengurus penyediaan makanan terdiri daripada staf Pusat Islam dan Sahabat Masjid.
"Masjid UPM menghidangkan sebanyak 200 dulang juadah berbuka puasa yang mana setiap dulang akan dikongsi bersama empat jemaah. Seramai 800 jemaah bersama berbuka di Masjid. Selesai berbuka, jemaah hadir menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah," katanya.
Menurutnya setiap tahun sebelum tibanya bulan Ramadan, pihaknya telah mengatur gerak kerja dan jadual bertugas para sukarelawan yang ingin membantu menyediakan juadah agar ia berjalan lancar.
Mat Razi berkata, dana bagi penyediaan juadah berbuka puasa diperoleh menerusi Tabung Sumbangan IhyaĆ¢ Ramadan dilancarkan sejak awal April lalu.
Difahamkan, kemuncak aktiviti berbuka puasa di Masjid UPM adalah Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Canselor UPM pada lusa, 1 Jun ini.
Majlis ini sebagai tanda perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku mendekati warga kampus UPM dan masyarakat serta rakyat umumnya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment