Letusan Kilauea: Perintah darurat dilanjut
HONOLULU - HAWAII. Datuk Bandar Pulau Besar Hawaii mengumumkan perintah darurat dilanjutkan selama 60 hari lagi bagi membolehkan usaha membina pusat perlindungan sementara untuk kemudahan penduduk.
Perintah juga bertujuan memudahkan program bantuan dilaksanakan segera bagi meringankan beban penduduk, yang terjejas akibat letusan gunung berapi Kilauea.
Datuk Bandar Harry Kim turut mengarahkan semua penduduk di kawasan perumahan Leilani berpindah dalam tempoh 24 jam atau berdepan risiko ditahan pihak berkuasa.
Kira-kira 2,000 penduduk di sekitar kawasan perumahan Leilani sudah dipindahkan sejak gunung berapi Kilauea meletus pada 3 Mei lalu, dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 2,500 orang.
Manakala 75 kediaman di kawasan perumahan Leilani terjejas akibat aliran lahar selepas gunung berapi Kilauea kembali meletus empat minggu lalu.
Arahan berpindah turut dikeluarkan kepada penduduk di Kapoho sebagai langkah keselamatan, apabila aliran lahar mula menuju ke arah jalan utama.
Aliran lahar turut menyebabkan bekalan elektrik dan talian telefon terputus, sekali gus menjejaskan sistem komunikasi. - Reuters
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment