BSN kembali taja TKHM untuk aktiviti kemasyarakatan
KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) kembali menaja program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bukan saja untuk mengeratkan hubungan pelanggan, tetapi juga dapat membantu segelintir masyarakat yang masih ada hidup dalam serba kekurangan.
Naib Presiden Komunikasi Strategik Hal Ehwal Korporat BSN, Arida Ariffin berkata, penajaan ke atas aktiviti TKHM adalah antara program kemasyarakatan bank ini pada setiap kali Ramadan.
Katanya, tahun lalu misalnya, BSN menerbangkan tiga pelajar yang menuntut di universiti Mesir dan Jepun pulang berhari raya di kampung halaman mereka.
"BSN bekerjasama dengan MARA (Majlis Amanah Rakyat) untuk memilih pelajar yang benar-benar tidak mampu menampung kos penerbangan balik ke tanah air," katanya.
Arida berkata demikian selepas majlis penyampaian replika cek wang tajaan kepada Pengarang Eksekutif Projek Khas NSP selaku Pengerusi TKHM, Othman Mamat di Balai Berita, di sini, hari ini.
BSN menaja sebanyak RM80,000 untuk penganjuran program TKHM yang masuk tahun ke-11.
Sementara itu, Othman berkata, ini adalah kerjasama keempat BSN dengan Harian Metro (HM), bermula pada tahun 2014 ketika program kemasyarakatan itu diadakan di Terengganu, diikuti Johor (2014), Kelantan (2015) dan tahun ini di Sik, Kedah.
"Ia adalah usaha yang murni untuk membantu golongan kurang bernasib baik agar pada Ramadan ini dan Syawal yang bakal menjelang tiba, mereka dapat merai serta menyambutnya dengan gembira.
"TKHM dimulakan pada 2007 di Terengganu dan sejak itu ia menjadi acara tahun HM setiap kali tibanya Ramadan dan tahun ini program Titipan Kasih akan diadakan di Sik Kedah pada Sabtu," katanya.
Program TKHM akan dikendalikan oleh kakitangan HM dengan kerjasama sukarelawan daripada Briged Sukarelawan NSTP-Media Prima.
Antara aktiviti yang diatur di Sik, melawat keluarga yang kurang bernasib baik, bergotong-royong, membersih, mengecat dan menyampai sumbangan kepada rumah kebajikan," katanya.
Othman berkata, tahun ini TKHM dengan kerjasama BSN akan menyerahkan sumbangan RM2,000 kepada setiap masjid bagi mengadakan moreh di lima masjid di daerah Sik iaitu Masjid Ad-Dini Kampung Cemara, Jeneri, Masjid Al Maarif, Kampung Jeneri, Masjid Al Falah, Kampung Betong, Masjid Tajuddin, Kampung Kuala Ruman dan Masjid Al Barakah, Kampung Berona Kanan.
Kata Othman, mereka juga akan membawa 150 orang anak yatim daripada lima kariah terbabit untuk membeli baju raya di Giant Hypermarket, Sungai Petani.
"Agihan duit raya juga akan diberikan kepada 70 keluarga kurang berkemampuan di mana setiap keluarga akan mendapat RM300 berserta bungkusan makanan," katanya.
Program sehari itu berakhir dengan tazkirah, berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah dengan masyarakat setempat di Masjid Ad-Dini.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment