Enam jabatan dimansuhkan

Thursday, May 31, 2018

Enam jabatan dimansuhkan

Enam jabatan dimansuhkan

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka memansuhkan enam jabatan dan unit di bawah Jabatan Ketua Menteri dan menggugurkan beberapa pegawai kanan beberapa agensi, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, dua lagi agensi akan di kaji semula keperluannya serta keberkesanan kepada sektor pembangunan ekonomi negeri.

Menurutnya, langkah itu diambil selepas mengambil kira agensi-agensi berkenaan mempunyai fungsi yang bertindih.

“Bahagian Sahabat Belia akan dimansuhkan kerana berlaku pertindihan fungsi dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri manakala Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (UPEB) pula, peranannya akan diselaraskan di bawah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Kerajaan negeri turut memutuskan untuk memansuhkan Majlis Pembangunan Ekonomi Negeri (MAPEN) yang akan diselaraskan di bawah UPEN. Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dimansuhkan dan fungsinya dilaksanakan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di peringkat negeri.

“Jabatan Lanskap Negeri Melaka juga dimansuhkan dan diselaraskan oleh Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Pihak Berkuasa Tempatan. Bahagian Khidmat Masyarakat pula dimansuhkan kerana pertindihan fungsi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Manakala Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan DMDI International Education Sdn Bhd akan dikaji semula status dan keperluannya,” katanya di dalam sidang media di pejabatnya di Seri Negeri di sini, hari ini.

Adly berkata, mengenai kakitangan di bawah jabatan terlibat akan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya melihat kembali peluang-peluang pekerjaan yang ada dan bagaimana dia boleh berfungsi di jabatan lain.

“Kita kena tengok apa peranan yang mereka boleh mainkan di jabatan lain. Keutamaan kita adalah sedaya upaya memastikan mereka tidak kehilangan pekerjaan, terutama pekerja di peringkat bawahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adly berkata kerajaan negeri turut bersetuju melantik Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ruslin Hasan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), menggantikan Datuk Azmi Hussien yang dilantik sebagai Datuk Bandar MBMB.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment