Buang sifat membenci sesama sendiri

Tuesday, May 1, 2018

Buang sifat membenci sesama sendiri

Buang sifat membenci sesama sendiri

KUALA LANGAT: Pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) Selangor perlu membuang sifat membenci sesama sendiri jika ingin merampas semula negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Selangor yang ditadbir BN tumbang pada 2008 disebabkan kesilapan diri sendiri kerana terpengaruh dengan gelombang kebencian yang dimainkan pihak pembangkang ketika itu.

"Ketika itu, kita dihasut untuk membenci kepada pemimpin bahagian UMNO, kita benci kepada pemimpin utama Selangor. Akhirnya kita turut sama hanyut dalam kebencian itu.

"Kita rasa terpukul dengan kekalahan pada PRU 2008. Kita sekali lagi tewas pada PRU 2013, namun pada kali ini saya yakin kita mampu menang selepas 10 tahun.

"Cukuplah dua penggal lumpur terpalit di muka kita. Mari kita ambil alih semula negeri ini," katanya ketika berucap pada Program Lawatan Kerja ke Parlimen Kuala Langat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar; calon BN Parlimen Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Sulaiman Mohd Karli (DUN Sijangkang), Ng Siok Hwa (DUN Banting) dan Rozana Kamarulzaman (DUN Morib).

Ahmad Zahid juga berjanji untuk membina rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) khusus untuk masyarakat Kuala Langat jika BN menyapu bersih kerusi Parlimen Kuala Langat, DUN Sijangkang, DUN Banting dan DUN Morib.

"BN akan bina rumah PPR untuk masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Saya janji perkara ini akan dilaksanakan dalam tempoh 120 hari bermula dari 9 Mei ini.

"BN jika berjanji kita akan tunaikan. Apa kelebihan mereka (kerajaan PKR Selangor) selama 10 tahun? Mereka tiada buat apa-apa," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment