Bekas Adun Kempas merayu ahli Umno kekal berjuang

Tuesday, May 29, 2018

Bekas Adun Kempas merayu ahli Umno kekal berjuang

Bekas Adun Kempas merayu ahli Umno kekal berjuang

JOHOR BAHRU - Bekas Adun Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Abdul Hamid Jumat merayu kepada semua ahli Umno supaya kekal berjuang di dalam parti berkenaan.

Menurutnya, setiap ahli juga dimohon untuk menghidupkan cawangan-cawangan Umno dengan mengadakan mesyuarat sekali gus meneruskan perjuangan tanpa memilih parti alternatif.

"Sesungguhnya ALLAH akan membalas jasa mereka yang beriman kepada-Nya dan taat kepada kepercayaan kita.

"Yang berhijrah ke parti lain akan dianaktirikan oleh mereka dan mereka akan dianggap sebagai orang-orang yang tidak boleh dipercayai kerana telah mengkhianati parti asal mereka  untuk bersama pihak yang menang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata, meskipun kecewa dengan pucuk pimpinan, tempoh masa sekarang adalah peluang kepada ahli untuk menentukan hala tuju dan pucuk pimpinan parti yang baharu pada pemilihan akan datang.

"Marilah kita kekal bersama di dalam apa keadaan sekalipun, susah mahupun senang kerana parti kita sangat memerlukan kita di waktu ini.

Ambil balik kuasa parti kita dari tangan pemimpin-pemimpin kita yang sudah terlalu lama duduk di tampuk kuasa Umno.

"Janganlah ikut telunjuk mereka akan siapa yang harus diangkat dalam berpasukan. Tepuk dada dan tentukan kuasa yang di tangan anda sebagaimana rakyat umum telah menentukan nasib mereka pada PRU14 dengan takdir ALLAH," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, bulan Ramadan kali ini disifatkan sebagai mencabar dengan keputusan pilihan raya paling menyedihkan ahli-ahli Umno.

"Sejujurnya ketentuan ALLAH ini adalah berlandaskan perjalanan kita sebagai sebuah parti selama ini.

Pemimpin datang dan pergi, namun parti Umno wajib kekal untuk meneruskan perjuangan kita dalam menegakkan agama Islam, hak orang Melayu serta Bumiputera, dan kedaulatan tanah air kita.

"Dalam tetapnya keimanan kita kepada ALLAH yang tidak berganjak, ketaatan kita kepada parti kesayangan ini pula sedang diuji pada tahap yang teramat getir," katanya.

Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata, di awal pasca pilihan raya sahaja, tiga wakil rakyat Umno melompat parti kononnya untuk menyelamatkan kuasa Melayu di dalam kerajaan negeri sedangkan di Johor selama ini diuar-uarkan hanya ada istilah Bangsa Johor.

Katanya, kini ramai ahli Umno dalam keadaan tidak percaya dengan keputusan PRU14 malah ada juga yang hilang arah tuju sambil menunggu isyarat penting dari pemangku-pemangku pucuk pimpinan sedia ada, untuk menyuntikkan semangat perjuangan.

"Namun yang mendatang bukanlah kata-kata semangat, sebaliknya arahan memuhasabahkan diri seolah penyebab utama kekalahan kita adalah ahli Umno bawahan dan bukan pemimpin-pemimpin atasan yang telah mencorak strategi kaedah kempen pilihan raya.

"Justeru saya menyaksikan saban hari kebelakangan ini, ramai dari ahli-ahli Umno di kalangan rakan dan taulan seperjuangan selama 30 tahun, mula keluar dari Umno dan bercadang untuk berhijrah ke parti Bersatu yang baru sahaja menang di bawah panji PKR," katanya.

Ujarnya, ramai di kalangan ahli parti termasuk ketua-ketua cawangan tidak mahu mengadakan mesyuarat kerana hilang semangat.

"Ini tidak dibantu pula dengan keputusan sesetengah ketua Umno bahagian yang lebih selesa dengan mempunyai jumlah cawangan yang lebih kecil memandangkan kita bukan lagi parti yang memerintah.

"Kepada ahli-ahli seperjuangan dalam Umno, keramatnya parti ini adalah kerana kehadiran dan semangat kita untuk terus berjuang dengan ikhlas tanpa putus asa kerana ALLAH SWT," katanya.

Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata, Umno merupakan parti tunggal yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak di dalam Parlimen.

"Ertinya kita masih lagi disokong dan diberi kepercayaan untuk memimpin oleh sebahagian besar bangsa kita di Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah.

"Selebihnya dibahagi kepada dua parti Melayu lain yang tidak lama lagi pengundinya akan sedar ketika hak keistimewaan tersurat mahupun tersirat bangsa Melayu menjadi terhakis dalam penggal yang mendatang ini," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment