Kena kerja lebih kuat selesaikan masalah rakyat

Wednesday, May 30, 2018

Kena kerja lebih kuat selesaikan masalah rakyat

Kena kerja lebih kuat selesaikan masalah rakyat

BERUAS - Ketua kampung dan ahli majlis yang bakal dilantik semula di bawah pentadbiran Pakatan Harapan perlu lebih membantu wakil rakyat di kawasan Dun dan Parlimen yang diwakili DAP masing-masing dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, ketua kampung dan ahli majlis yang bakal dilantik juga harus bekerja kuat dan turun melawat kawasan bagi mengambil tahu setiap masalah rakyat.

Menurutnya, mereka tidak boleh menunggu rakyat membuat aduan terlebih dahulu barulah mereka akan datang untuk melihat.

“Kita mahu mereka yang dipilih nanti betul-betul boleh melakukan kerja dan tanggungjawab mereka lebih besar di mana mereka perlu turun padang melihat permasalahan seperti sistem perparitan, lampu jalan, masalah jalan dan sebagainya.

“Mereka perlu bertugas mewakili wakil rakyat kerana sudah tentu wakil rakyat tidak dapat melakukan semua perkara sendirian,” katanya ketika ditemui semasa program gotong-royong di Kampung Changkat Keruing baru-baru ini.

Koo Ham berkata, pemilihan juga akan dibuat dengan lebih teliti supaya mereka yang benar-benar layak boleh terpilih.

“Kita akan buat satu jawatankuasa pemilihan dan mereka yang berminat boleh menghantar resume  masing-masing kepada kami.

“Syarat yang kita letak ialah mereka harus melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab dengan baik seperti yang diamanahkan,” katanya.

Katanya, mereka yang dipilih juga harus lebih peka dengan keadaan semasa dan mematuhi kehendak rakyat.

“Kita harus bekerja untuk rakyat dan jangan menunggu mereka membuat aduan barulah kita mahu turun lihat apa yang berlaku.

“Sekarang kita yang harus melihat dan mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan barulah kita dikatakan menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment