Kerajaan akan kaji tarik balik konsesi BERNAS

Wednesday, May 30, 2018

Kerajaan akan kaji tarik balik konsesi BERNAS

Kerajaan akan kaji tarik balik konsesi BERNAS

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji untuk menarik semula konsesi Syarikat Padi Beras Nasional Bhd (BERNAS) sebagai pengimport tunggal beras negara kerana ketika ini, ia hanya dimonopoli sesetengah pihak bagi mengaut keuntungan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, berkata langkah itu bertujuan mengelak daripada ia dimonopoli oleh hanya segelintir pihak bagi mengaut keuntungan peribadi dan kementerian akan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk mendapat faedah pada masa akan datang.

Menurutnya, pada masa sama, kementerian tetap akan mengutamakan kualiti beras serta kepentingan petani terlebih dahulu sebelum perkara itu dilaksanakan.

"Perkara ini akan dibawa ke Kabinet untuk dibentangkan kerana ia menjadi salah satu janji Manifesto Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Salahuddin berkata, mesyuarat Kabinet semalam juga meluluskan penubuhan Majlis Perunding Pertanian Negara dan pemberian elaun sara hidup nelayan (ESN).

Menurutnya, kementerian sudah mengusulkan beberapa nama kepada Kabinet untuk dipilih menganggotai majlis perunding itu yang dijangka diumumkan Isnin depan.

Mengenai ESN, beliau memaklumkan kerajaan mempunyai bajet yang cukup untuk meneruskan ESN dengan kadar RM300 setiap seorang.

"Seramai 5,500 nelayan laut dan 5,400 nelayan darat akan menikmati skim ini apabila ia diluluskan dalam jangka masa terdekat ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment