'Kita pilih Mahathir untuk tarik sokongan Melayu'
BUTTERWORTH: Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Dr P Ramasamy, mengakui tindakan pembangkang menyokong Tun Dr Mahathir Mohammad hanya kerana mahu meraih sokongan orang Melayu.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II negeri, berkata selama 22 tahun mereka tidak pernah menyukai Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri sepanjang tempoh itu.
Katanya, beliau sendiri tidak menyukai dan tidak pernah melupakan apa yang dilakukan Dr Mahathir yang juga calon PKR bagi Parlimen Langkawi itu.
"Tiba-tiba dia (Dr Mahathir) datang kepada Pakatan Harapan. Dia kata tidak mahu Najib, tidak mahu UMNO, tidak mahu BN. Kenapa kita terima dia?
"Bukan kita lupakan apa dia buat dahulu, dulu dia jahat. Saya pun tidak boleh lupa. Kita pilih Dr Mahathir untuk tarik orang Melayu sokong pakatan," katanya ketika berkempen di DUN Perai di sini.
Video rakaman lebih seminit itu kini viral di media sosial dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen sama ada pembangkang benar-benar ikhlas menerima Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu atau tidak.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment