Isu rumah urut: Saya hanya cegah kemungkaran
SHAH ALAM - Calon Pas Dun Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abdul Rani sudah memberikan keterangan berkenaan kenyataan yang dibuatnya mengenai kewujudan pusat urut dan judi di Seksyen 18.
Penceramah bebas itu berkata, kenyataan yang dikeluarkannya itu berdasarkan maklumat yang diperolehinya sewaktu penglibatan beliau dalam jawatankuasa pelesenan dan menyandang jawatan sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurutnya, beliau tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan polis tersebut sebaliknya memaafkannya.
"Saya ambil ini sebagai iktibar dan seharusnya masyarakat berterima kasih kerana ada pihak yang mengetengahkan isu yang mengundang kemungkaran ALLAH SWT.
"Saya menyebutnya sebagai mencegah kemungkaran. Apabila melihat perbuatan yang mungkar maka mestilah mencegahnya dengan tangan atau mulut dan jika tak mampu juga buatlah dengan hatinya," katanya.
Katanya, laporan tersebut tidak menghalangnya untuk terus berkempen membangunakan Kota Anggerik.
"Saya berharap penjelasan yang dibuat ini membuat masyarakat mengerti dan berlapang dada," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian bertarikh 27 April lalu bertajuk 'Penduduk mahu Ahmad Dusuki disiasat' selepas sebahagian penduduk Seksyen 18 membuat laporan polis terhadap kandungan video ceramahnya yang didakwa tidak berasas.
Kesemua penduduk yang hadir turut membawa kain rentang bagi menyatakan bantahan terhadap fitnah Ahmad Dusuki.
Video ucapan Ahmad Dusuki berdurasi 50 saat menjadi tular di media sosial, dipercayai dipetik dari salah satu siri ceramahnya di Shah Alam.
Menerusi pautan video itu, Ahmad Dusuki menyebut berhubung pembangunan 'international zone' oleh kerajaan negeri di Seksyen 7 dan Setia Alam yang didakwa membawa kepada perkembangan lebih banyak kawasan maksiat di Shah Alam.
Beliau turut memberikan contoh, "tidak cukupkah lagi dengan rumah-rumah urut yang banyak di kawasan Seksyen 25, Seksyen 18 dan beberapa seksyen lagi yang tidak dinamakan".
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment