Pembangkang cuba pikat Ahmad Husni
IPOH: Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mendedahkan ada ahli pembangkang cuba memujuknya menyertai parti mereka selepas beliau meletakkan semua jawatan dipegangnya dua tahun lalu.
"Bila berhenti menjadi menteri, ramai orang ajak saya pergi parti ke sana (pembangkang). Bukan tidak mahu tapi saya berotak, orang Tambun orang berotak.
"Bila ajak saya, janji dengan saya nak bagi macam-macam, saya kata tidak," katanya berucap pada majlis sarapan pagi bersama penduduk Manjoi di sini, hari ini.
Ahmad Husni yang mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, masyarakat perlu bijak memilih supaya lebih banyak peluang pembangunan wujud di Tambun.
"Kerajaan sudah menghasilkan pelan menyeluruh dan seperti tahun lalu, Malaysia mencatat kadar pertumbuhan 5.9 peratus.
"Ini bermakna bila bercakap soal masa depan, apa yang kita rancang akan tercapai dan kita perlu yakin dengan masa depan," katanya.
Ketika bersarapan dengan penduduk Manjoi, mereka dikejutkan dengan kehadiran bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang turut meluangkan masa selama sejam bersama penduduk.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment