Semakan kes Presiden WARISAN ditetapkan 7 Mei
KOTA KINABALU: Mahkamah tinggi di sini, hari ini, menetapkan 7 Mei ini untuk mendengar kes semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengundi dan menjadi calon pilihan raya.
Hakim Azhahari Kamal Ramli yang bersidang di dalam kamar turut menetapkan 4 Mei bagi semua pihak yang terbabit untuk memfailkan hujahan masing-masing.
Semakan kehakiman itu difailkan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Semporna, Datuk Mohd Ainal Fattah, kelmarin melalui peguam Marcel Jude dengan menamakan SPR dan Mohd Shafie masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam prosiding hari ini, SPR diwakili Peguam Persekutuan Kanan, Andy Razali Jaya dengan dibantu Dorine Patrick, manakala Mohd Shafie diwakili peguam Datuk Doughlas Lind dan Chung Jing Dau.
Marcel ketika ditemui selepas prosiding itu, berkata pada 7 Mei nanti hakim akan membuat keputusan sama ada menerima semakan kehakiman berkenaan atau sebaliknya atau menetapkan tarikh baharu untuk pendengaran seterusnya.
Mohd Ainal sebelum ini memfailkan semakan kehakiman itu bagi mendapatkan perintah mandamus daripada Mahkamah Tinggi untuk memerintahkan SPR supaya menolak jika Mohd Shafie dicalonkan di sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau turut memohon injunksi mandatori terhadap pencalonan Mohd Shafie pada PRU-14 sehingga wang RM7.5 bilion yang didakwa hilang ketika bekas Naib Presiden UMNO itu menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dikembalikan, yang mana kes berkenaan masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mohd Shafie ditahan SPRM pada 19 Oktober tahun lalu bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana awam projek luar bandar di negeri ini.
Mohd Shafie yang juga penyandang kerusi Parlimen Semporna direman lapan hari sebelum dibebaskan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas jaminan SPRM sebanyak RM100,000 dengan RM80,000 deposit.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment