PM lulus UTC, PPR Teluk Intan
TELUK INTAN: Kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke sini membawa berita gembira apabila mengumumkan pembinaan sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 500 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibina dalam dua fasa, selain meluluskan pemasangan lampu limpah di stadium mini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi.
Najib berkata, kelulusan ketiga-tiga projek itu dibuat berdasarkan permintaan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan yang mahu menunaikan janji terhadap rakyat Teluk Intan.
Beliau berkata, UTC adalah inisiatif kerajaan yang sangat popular dengan hampir 70 juta rakyat sudah menggunakan perkhidmatannya di seluruh negara.
"Tak ada mana-mana negara lain (ada UTC), cerah (bagus) UTC ini, bukan macam terowong di Pulau Pinang, tak nampak hujung terowong tetapi UTC memberi manfaat kepada rakyat, jadi saya nak umumkan UTC ini InsyaAllah akan dibuat di Teluk Intan.
"PPR kita akan buat dua fasa, fasa pertama 250 unit dan fasa kedua 250 unit lagi, jadi 500 unit semuanya. Ini saya serah kepada kerajaan negeri, ahli parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk fikir di mana tapak yang sesuai," katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu dalam ucapannya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Teluk Intan atau PR1MA@Teluk Intan di Batu 4, Jalan Changkat Jong, di sini hari ini.
Projek Kerajaan Persekutuan yang dibina Perbadanan PR1MA Malaysia itu membabitkan pembinaan 957 unit rumah PR1MA yang secara keseluruhannya membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM232 juta.
Rumah berkenaan berharga antara RM180,000 dan RM250,000 itu adalah untuk golongan berpendapatan sederhana (M40), antara beberapa inisiatif diumumkan Perdana Menteri selepas BN menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada tahun 2014 dan pelaksanaannya juga adalah sebagai memenuhi komitmen Kerajaan Perak pada PRK berkenaan.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan dan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong; Pengerusi PR1MA, Tan Sri Dr Alies Anor Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Mutalib Alias.
Perdana Menteri berkata, pengundi khususnya di Parlimen Teluk Intan tidak perlu terpedaya dengan janji pembangkang untuk memberi kuasa dan melantik Pengerusi DAP, Nga Kor Ming sebagai menteri jika menang di kerusi itu dan pembangkang menang di peringkat pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kononnya untuk membawa pembangunan di kawasan berkenaan.
"Tak payah kita tunggu lagi orang (Kor Ming) nak jadi menteri sebab kita dah ada menteri (Siew Keong), tak payah orang lain nak ada kuasa sebab kita dah ada kuasa, tak payah kena tipu.
"Di Pulau Pinang banyak dah kena tipu, dulu janji tak ada pembangunan lereng bukit tapi dalam 10 tahun ini jauh lebih banyak daripada zaman Tan Sri Dr Koh Tsu Koon jadi Ketua Menteri, jadi dia jaga alam sekitar Pulau Pinang lebih hebat daripada kerajaan DAP. Juga janji (caj) air tak naik, (tetapi) naik empat di Pulau Pinang.
"Di Selangor apa? Pemimpin dapat undi rakyat dapat baldi, itulah kerajaan pembangkang, jadi janganlah kita kena tipu, orang macam ni tak boleh pakai.
"Hati dia tak ada di sini, hati di tempat lain, di Taiping dia tak berkhidmat, dia lari ke Teluk Intan, (tetapi) Teluk Intan ada anak jati di sini, sokong dia (Siew Keong) dan saya akan pastikan projek-projek ini akan kita laksanakan dan undilah BN pada 9 Mei nanti...kalau boleh masa depan Teluk Intan tetap maju," katanya.
Sementara itu, Siew Keong berkata dalam tempoh tiga tahun rakyat golongan B40 (berpendapatan rendah) di kawasan Parlimen Teluk Intan menerima kunci membabitkan 150 unit fasa pertama PPR.
Katanya, bagi kelulusan UTC yang diumumkan Perdana Menteri itu, perkara itu adalah inisiatif kerajaan BN yang mahu memudahkan rakyat berikutan segala urusan ditempatkan dalam satu bangunan.
"Kita akan cari tapak yang bersesuaian untuk pembinaan UTC bagi warga Teluk Intan supaya mendapat manfaat," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment