Peneroka FELDA di Mersing terima hak milik
MERSING: Seramai 2,438 peneroka dari 12 tanah rancangan FELDA di daerah ini sudah menerima hak milik tanah, manakala baki 858 hak milik masih dalam proses.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata baki 858 peneroka FELDA di daerah itu dijangka menerima hak milik selewat-lewatnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun ini selepas semua urusan tukar milik status tanah selesai.
Katanya, kerajaan negeri memberi jaminan akan menyerahkan hak milik tanah kepada semua peneroka.
"Sehingga kini kerajaan negeri sudah menyerahkan geran tanah kepada 2,438 daripada seramai 3,296 peneroka di 12 tanah rancangan FELDA di daerah ini," katanya berucap pada Majlis Penyampaian Hak Milik Peneroka FELDA Tenggaroh 5 dan Notis 5A Peneroka FELDA Tenggaroh 2, di Dewan Serbaguna FELDA Tenggaroh 5, sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Tanah dan Galian Johor, Mohd Halim Hasbullah; Pengurus Besar FELDA Wilayah Johor Bahru, Abd Rahman Ahmad serta Ketua UMNO Bahagian Mersing yang juga penyandang kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk menukar permaidani, memasang pendingin hawa di masjid serta menaik taraf Dewan Tenggaroh 5.
Mohamed Khaled berkata, pemberian hak milik itu insentif kerajaan negeri mengiktiraf dan menghargai peneroka FELDA yang selama ini bekerja keras dalam aspek pembangunan sosial serta ekonomi di negeri ini.
"Hari ini, seramai 350 peneroka FELDA Tenggaroh 5 menerima geran hak milik tanah, manakala 487 peneroka FELDA Tenggaroh 2 pula menerima Notis 5A. Saya berharap mereka akan menjaga hak mereka ini sebaik-baiknya.
"Penyerahan geran ini adalah tanda keprihatinan kerajaan negeri yang sedar peneroka mahukan hak mereka dan ia dilakukan untuk kesejahteraan rakyat, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan yang jelas dengan memastikan peneroka mendapat hak mereka.
"Pada dasarnya, kerajaan bukan saja menyelesaikan masalah hak milik, sebaliknya mewujudkan inisiatif rumah untuk generasi kedua dan rumah mampu milik," katanya.
Sementara itu Ketua Peneroka FELDA Tenggaroh 5, Adabi Arip, berkata pemberian hak milik itu menjadi hari bersejarah kepada mereka dan tidak akan dilupakan.
"Saya amat terhutang budi kepada kerajaan negeri yang prihatin dengan masalah peneroka di FELDA dan dapat menyelesaikannya sebaik mungkin," katanya.
Hamzah Awang, 68, pula bersyukur atas kesungguhan kerajaan negeri menyelesaikan isu tanah di kawasan itu yang berlarutan sejak sekian lama.
"Tanah ini kami sudah lama usahakan, sudah 30 tahun kami teroka. Bila hari ini dapat hak milik, tentulah terharu, sukar nak bayangkan betapa gembiranya dan saya minta semua penerima geran hari ini supaya jagalah tanah ini baik-baik, jangan sampai tergadai kerana inilah tanah yang kita ada," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment