Orangnya sama, tempat berbeza
KUANTAN: "Dulu beliau penyandang di Temerloh dan saya pemain import, sekarang berpusing saya balik ke kawasan, beliau pula datang."
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, seakan tidak sabar menanti pertembungan dengan Datuk Saifuddin Abdullah di Parlimen Indera Mahkota bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada PRU-13, Nasrudin menewaskan Saifuddin yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,070 undi di kerusi Parlimen Temerloh.
Dalam pertembungan dramatik kali ini, Saifuddin membawa lambang pakatan pembangkang menggantikan penyandang kerusi, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang berpindah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing.
Nasruddin mengakui tidak menyangka Saifuddin kembali menjadi lawannya.
"Saya anggap ini pertemuan ini dramatik kerana kami ada pengalaman bersaing di Temerloh pada sesi lalu dan mengulanginya di Indera Mahkota.
"Ia menjadi lebih menarik kerana sebelum ini beliau mewakili BN namun sekarang bersama-sama di blok pembangkang.
"Beliau berasal dari Temerloh dan bekas Ahli Parlimen Temerloh sebelum tewas pada 2013, jadi saya menyangka beliau kekal di sana tetapi kerusi berkenaan diperuntukkan untuk Parti Amanah Negara (PAN) sedangkan Saifuddin ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Kerusi Parlimen Indera Mahkota memang peruntukan PKR, maka mungkin sebab itu beliau dihantar ke sini," katanya ketika ditemui NSTP di sini, hari ini.
Parlimen Indera Mahkota dijangka menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru membabitkan PAS, pakatan pembangkang dan BN yang belum mengumumkan calonnya.
Ditanya mengapa tidak mempertahankan Parlimen Temerloh, Nasrudin berkata, dua faktor menyebabkannya berpindah iaitu kedudukan kawasan itu yang jauh dari kediamannya di Taman Pelindung Perdana dalam Parlimen Indera Mahkota.
"Ada kalanya saya di sana (Temerloh) tiga hari dan apabila balik ke sini terima panggilan ada kematian, memang saya tidak dapat pergi.
"Itu sebabnya saya minta pucuk pimpinan parti memberi kawasan lain pada pilihan raya kali ini yang mudah untuk saya berkhidmat.
"Faktor kedua adalah masa saya di Parlimen lebih banyak, kadang-kadang sesi bersidang dua bulan dan ia menyebabkan saya perlu berada di Kuala Lumpur.
"Jika ada tiga kali persidangan maksudnya hampir separuh tahun berada di sana," katanya.
Mengenai peluangnya pada PRU-14, beliau berkata, pertandingan tiga penjuru tidak memberi kelebihan kepada mana-mana parti dan ia bergantung kepada penerimaan masyarakat terhadap tawaran serta manifesto.
"Saya mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana DUN Beserah adalah kubu kuat PAS yang sudah dimenangi selama dua penggal, namun begitu saya tetap tidak memandang ringan cabaran parti lain," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment