Joo Ven tekad bangkit semula

Wednesday, April 18, 2018

Joo Ven tekad bangkit semula

Joo Ven tekad bangkit semula

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven mengakui sudah melakukan segalanya di dalam latihan, namun semua serba tidak menjadi sehingga prestasinya sejak kebelakangan ini menurun serta menjadi perbualan untuk melalui 'proses pemutihan'.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, dia merasakan semua itu berlaku disebabkan ada perkara yang mengganggu fikirannya sehingga terbawa-bawa ke dalam gelanggang ketika beraksi dalam kejohanan antarabangsa.

"Ketika berlatih saya sudah berikan yang terbaik. Saya berusaha keras untuk meningkatkan prestasi. Pada hari cuti juga saya berlatih sendiri," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu, sedar bahawa dia harus bangkit semula untuk menunjukkan prestasi terbaik  selepas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi tempoh selama tiga bulan (sehingga Ogos) untuk melihat perubahan dalam kalangan pemain.

"Sudah tentu saya mahukan peningkatan dan harap semuanya kembali seperti sedia kala. Saya akui turut kecewa dengan prestasi saya sebelum ini.

"Apa yang bola saya buat lupakan kekecewaan lalu dan fokus dengan aksi yang bakal saya tempuhi," katanya yang sekarang ini berada di ranking 59 dunia.

Isnin lalu, seorang bekas pemain negara menggesa BAM melakukan 'proses pemutihan' dengan menggugurkan pemain perseorangan lelaki yang boleh dianggap liabiliti dalam kem negara. 

Bekas pemain yang enggan dinamakan itu menegaskan pemain seperti Soo Teck Zhi, Joo Ven, Chong Yee Han dan Lim Chi Wing wajar digugurkan kerana sehingga sekarang masih bergelut untuk menyerlah di pentas antarabangsa. 

Semalam Norza mengakui beliau masih berpegang pada janji untuk memberi tempoh tiga bulan kepada pemain negara termasuk skuad perseorangan lelaki walaupun ada pihak yang menggesa supaya melakukan 'proses pemutihan'.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment