`Jangan sabotaj calon baharu, parti'
- Foto Amran Hamid
JERLUN: Bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak dicalon semula digesa memegang prinsip 'wala' dan mengelakkan sebarang unsur sabotaj bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO terus memerintah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata prinsip wala' bermakna setia kepada ketua, maka ia adalah syarat penting dalam perjuangan politik yang mengutamakan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan, berkata sesiapa sahaja perlu mengutamakan parti berbanding diri sendiri kerana sikap mementingkan diri akan merugikan parti dan negara.
"Apabila pemimpin buat keputusan, kita kena hormat dan patuh kerana apabila kita dipilih jadi wakil rakyat, semua orang menyokong kita kerana pucuk pimpinan yang pilih.
"Tetapi apabila kita tidak terpilih sebagai calon, maka kita kenalah setia kepada parti. Jangan sabotaj, jika kita sabotaj sudah pasti parti yang kalah dan ini merugikan kita untuk meneruskan khidmat kepada rakyat.
"Jika orang lain dicalonkan, kita perlu bantu supaya parti menang sebab ini giliran orang itu (calon baharu) pula. Jangan ulangi sejarah lalu apabila kita kalah di Kedah. Kita yang rugi tetapi jika kita menang, mereka yang tidak dicalonkan pun akan dapat nikmat bersama," katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja Menteri Pendidikan ke SK Ayer Hitam, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang meminta bekas Ahli Parlimen dan ADUN yang digugurkan tidak berkecil dan membuat sabotaj terhadap calon baharu bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
.
Pengerusi BN negeri itu berkata, pihaknya mengharapkan situasi itu tidak berlaku kerana tidak menolak kemungkinan terdapat nama Ahli Parlimen dan ADUN digugurkan.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, selepas BN tewas di Kedah pada PRU 2008, kerajaan negeri dipimpin PAS bersikap sambil lewa dengan teguran daripada wakil rakyat BN.
Akibatnya, Mahdzir yang juga ahli Parlimen Padang Terap berkata, BN tiada suara yang mampu mengubah atau melaksanakan sesuatu dasar hingga menyukarkan usaha membantu rakyat secara menyeluruh.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment