Indonesia mahu bantu selesaikan krisis Rohingya
SINGAPURA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengulangi komitmen Indonesia untuk membantu kerajaan Myanmar menyelesaikan krisis etnik Rohingya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika mesyuarat dua hala dengan Presiden baharu Myanmar, Win Myint tidak lama selepas Jokowi tiba di Singapura untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-32, semalam.
"Indonesia hanya mempunyai satu kepentingan iaitu untuk melihat Rakhine stabil dan damai termasuk penduduk Islam boleh hidup secara aman," katanya.
Menurutnya, Jakarta sedia memberikan bantuan diperlukan Yangon untuk proses penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Cox's Bazar ke Rakhine.
Beliau turut memaklumkan tentang puluhan pelarian yang tiba di pantai Kuara Bireuen di Aceh dengan menaiki bot pada minggu lalu.
Selain itu, Jokowi juga menggalakkan rakan sejawatannya dari Myanmar itu supaya melaksanakan cadangan dikeluarkan Jawatankuasa Penasihat untuk Rakhine yang diketuai bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan di negeri tersebut.
Difahamkan, jawatankuasa terbabit mengeluarkan laporan yang mencadangkan siri langkah termasuk membenarkan pekerja agensi bantuan kemanusiaan memasuki kawasan terjejas akibat konflik di negeri barat tersebut dan penubuhan penyiasatan bebas. - Jakarta Post
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment