Imigresen tahan 57 GRO warga asing

Thursday, April 5, 2018

Imigresen tahan 57 GRO warga asing

Imigresen tahan 57 GRO warga asing

KUALA LUMPUR: Seramai 57 wanita warga asing yang menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan melayan pelanggan di dua pusat hiburan di Damansara Utama, Petaling Jaya, ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Gegar yang dijalankan malam tadi.

Turut ditahan adalah tujuh lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki tempatan yang disyaki bekerja sebagai penyelia kepada semua wanita yang menawarkan layanan kepada lelaki hidung belang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, ketika dihubungi berkata seramai 28 pegawai imigresen dari Unit Quick Response Team (QRT), Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa JIM terbabit dalam operasi yang dijalankan pada jam 10 malam tadi dan tamat jam 5 pagi hari ini.

Katanya, 57 wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) itu termasuk 23 wanita Thailand, 19 wanita Filipina, sembilan wanita Vietnam, lima wanita Indonesia dan seorang wanita Turkmenistan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua wanita warga asing itu menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, Pas Isteri Kepada Warganegara dan Pas Pelajar untuk bekerja sebagai GRO.

"Kesemua wanita berkenaan ditugaskan untuk menemani pelanggan dengan minum bersama dengan diberi komisyen berdasarkan setiap pesanan minuman keras yang dibuat pelanggan," katanya.

Kata Mustafar, pelanggan juga dibenarkan untuk mengeluarkan belanja bagi setiap GRO yang diambil dengan membeli minuman khas dikenali sebagai 'ladies drink' bernilai RM20 segelas yang dikira sebagai bayaran 'tips' dengan jumlah sekurang-kurang dua atau tiga gelas.

Katanya, dalam operasi itu, kebanyakan kesalahan dilakukan adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua mereka kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan disiasat atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Selain itu, sebanyak tujuh notis hadir memberi keterangan juga dikeluarkan kepada pekerja, pengawal atau 'bouncer' serta pelanggan yang berada di premis itu ketika serbuan dijalankan.

"Imigresen turut merampas wang tunai RM3,550 yang disyaki wang hasil jualan berkaitan kegiatan tidak bermoral di dua pusat hiburan berkenaan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment