Imbangi jurang sosioekonomi

Sunday, April 1, 2018

Imbangi jurang sosioekonomi

Imbangi jurang sosioekonomi

JANJI DITEPATI

PUTRAJAYA: Penyediaan rumah mampu milik jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memenuhi agenda perumahan untuk rakyat, terutama membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) memiliki kediaman masing-masing.

Penganalisis Ekonomi, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata inisiatif yang wajar diteruskan itu turut membantu dalam mengimbangi jurang sosioekonomi, terutama bagi penduduk di bandar.

"Bayangkan sekiranya tiada intervensi (campur tangan) daripada kerajaan menerusi inisiatif membina rumah mampu milik, pasti akan memberi kesan dari segi ekonomi dan sosial yang mana akan berlaku lambakan rumah kerana pemaju perumahan menjual rumah pada harga terlalu tinggi yang tidak mampu dimiliki rakyat.

Beri kesan kepada sektor kewangan

"Ia juga akan memberi kesan kepada sektor kewangan kerana tiada pihak mahu membuat pinjaman dan kita tidak mahu sampai pemaju mendesak kerajaan memberi pemilikan rumah berharga kurang daripada RM1 juta kepada warga asing.

"Kita juga tidak mahu lihat rakyat merempat di negara sendiri dan terpaksa menyewa sehingga akhir hayat mereka tanpa langsung berpeluang untuk memiliki kediaman mahupun aset mereka sendiri," katanya kepada NSTP di sini, semalam.

Dalam Aku Janji Kerajaan Persekutuan (AKP) 2013-2018, menerusi inisiatif menyediakan rumah mampu milik, sejumlah 145,983 unit rumah mampu milik di seluruh negara sudah siap dibina kerajaan sehingga kini.

Sebanyak 310,498 unit sedang dalam pembinaan, 447,750 dalam perancangan, manakala 95,769 membabitkan baki komitmen dan rundingan.

Daripada jumlah itu, Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berada di landasan memenuhi komitmennya membina 500,000 rumah, manakala selebihnya membabitkan projek seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan beberapa agensi dan kementerian, termasuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kelmarin, kerajaan menyasarkan untuk membina 200,000 unit PPA1M dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata setakat ini sebanyak 35,753 unit PPA1M sudah siap dan sedang dibina dengan 106,000 unit lagi dalam perancangan untuk dibina.

Ahmed Razman berkata, inisiatif oleh kerajaan itu turut membantu golongan B40 dan M40 menangani cabaran kos sara hidup, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar.

"Dengan rumah yang dibeli pada harga mampu milik, bayaran bulanan rumah lebih rendah, jadi lebihan pendapatan boleh digunakan untuk perkara lain, termasuk simpanan dan pelaburan dalam saham amanah atau Tabung Haji selain menambah aset lain," katanya.

Beliau berkata, pengenalan skim 'sewa milik' (sewa kemudian beli) perlu dipertingkatkan dan kejayaan beberapa negara luar seperti Jerman dan Belanda melaksanakan skim itu wajar dicontohi bagi menyokong permintaan berterusan kediaman mampu milik.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment