Dua calon Bebas tak muncul

Saturday, April 28, 2018

Dua calon Bebas tak muncul

Dua calon Bebas tak muncul

TEMERLOH - Parlimen P088 Temerloh menjadi kerusi paling ramai bertanding pada PRU14 di negeri ini apabila lima calon secara rasmi menghantar borang pencalonan mereka, pagi tadi.

Sebelum ini, kerusi berkenaan dijangka akan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN, Harapan, Pas dan tiga calon Bebas.

Bagaimanapun, dua calon yang mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas, tidak muncul di lokasi penamaan calon di Dewan Tun Razak, di sini. Namun, muncul seorang lagi calon Bebas lain sebagai ganti.

Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (BN) berdepan dengan Mohd Anuar Tahir (Amanah), Md Jusoh Darus (Pas) dan Khaidir Ahmad (Bebas).

Dua calon Bebas yang sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding iaitu bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Abu Jamal Nordin dan penulis bebas, Isma Nazon Abdul Hamid tidak tampil sehingga tempoh pencalonan ditutup.

Sebaliknya, terdapat kejutan apabila seorang guru agama, Fakhrudin Abu Hanifah tampil menghantar borang penamaan, kira-kira jam 9.30 pagi.

Fakhrudin,30, yang juga seorang guru agama itu ketika ditemui memberitahu dia hanya membuat keputusan tersebut dua hari lalu.

Memilih simbol buku Fakhrudin antara seorang lagi calon Bebas yang bertanding di kerusi terbabit selain bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir, 56, yang memilih simbol gajah.

Sementara itu, Sharkar menyifatkan saingan lima penjuru yang dihadapi kali ini adalah perkara biasa.

Menurutnya, ia adalah proses demokrasi dan tidak boleh menahan mana-mana pihak untuk menawarkan diri.

Bagaimanapun, beliau berharap kempen berlangsung dalam suasana sihat dan tidak melanggar etika yang ditetapkan.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment