BN sentiasa berusaha keras tegakkan syiar Islam

Thursday, April 19, 2018

BN sentiasa berusaha keras tegakkan syiar Islam

BN sentiasa berusaha keras tegakkan syiar Islam

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) tidak sesekali mengabaikan Islam seperti yang didakwa pelbagai pihak sekiranya parti itu memerintah Kelantan, sebaliknya akan menegakkan syiar Islam.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata selama ini, kerajaan BN berusaha keras menegakkan syiar Islam sehingga Malaysia dikenali di mata dunia sebagai model negara Islam yang progresif.

Katanya, Islam sama sekali tidak akan digadaikan oleh BN di Kelantan kerana parti itulah yang selama 60 tahun membentuk acuan negara Islam yang cemerlang.

Beliau berkata, sebagai bukti, BN menubuhkan Tabung Haji pada 1963, yang menjadi model buat negara Islam yang lain dan penjenamaan halal Malaysia diyakini negara luar.

"Sistem perbankan dan kewangan Islam kita adalah yang paling komprehensif di dunia. Kita juga sudah merangka Dasar Pendidikan Islam dengan memartabatkan sekolah agama sehinggalah wujud Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang melahirkan puluhan ribu profesional dan teknokrat yang mempunyai jiwa dan tasawur Islam yang jelas.

"Saya tegaskan di sini bahawa BN bukan sekadar akan meneruskan agenda memartabatkan syariat dan syiar Islam, malah akan memperhebatkan apa saja dasar yang baik di bawah pentadbiran sekarang sekiranya kita menang PRU-14.

"Justeru, mana mungkin kita akan mengabaikan Islam sekiranya diberi mandat memerintah Kelantan," katanya, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di hadapan kira-kira 20,000 jentera dan penyokong parti.

Pada masa sama, Mustapa berkata, PAS mendakwa Kelantan dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan, walhal negeri itu yang menerima peruntukan antara tertinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Malah katanya, pemimpin mereka sendiri tanpa sekelumit perasan bersalah mengakui sengaja melambatkan pembangunan di Kelantan.

"Semua ini jelas di depan mata kita dan rakyat boleh menilai sendiri. Menerusi BN, kita ada universiti, kita bina hospital baharu selain beri kemudahan di kampung.

"Malah di Bandar Tunjong sahaja, pelbagai kemudahan disediakan termasuklah RTC, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pendidikan Negeri dan bandar ini akan berkembangpesat selepas terbinanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak amat ketara berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad, yang selama 22 tahun memimpin negara, namun meminggirkan kita," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment