BN mahu tamat kemarau 28 tahun di Batu Burok
KUALA TERENGGANU - BN mahu menamatkan kemarau selama 28 tahun di Dun Batu Burok yang terkenal sebagai salah sebuah kubu kuat Pas dengan tekad merampas kerusi tersebut daripada pembangkang dalam PRU14.
Tekad BN berasas kerana selama enam penggal, Dun paling besar di Terengganu dengan jumlah pengundi hampir 33,000 orang itu dikuasai Pas melalui Datuk Wan Abdul Mutalib Embong bermula PRU tahun 1987 hingga PRU tahun 2004.
Pada PRU12, Wan Abdul Mutalib tidak bertanding dan Batu Burok diamanahkan kepada Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi. Ahli akademik itu berjaya menewaskan calon wanita tunggal BN, Nordiana Shafie dan pada PRU13, BN turut kalah kepada Dr Syed Azman.
Atas kemenangan berterusan Pas selama enam penggal, Batu Burok digelar âkawasan hijauâ dan mana-mana calon BN yang ditempatkan di kerusi itu seolah-olah tidak begitu selamat dengan peluang kemenangan begitu tipis.
Berdasarkan sejarah, BN pernah menang di Dun Batu Burok pada PRU tahun 1978 melalui Abdul Mutalib Salleh. Kejayaan sama turut dirasai BN pada tahun 1986, juga hasil pertembungan antara Wan Abdul Muttalib dan Abdul Muttalib.
Persoalannya kini, adakah BN mampu mengulangi kejayaan Abdul Muttalib âmembirukanâ Batu Burok setelah 28 tahun Pas mendominasi kawasan berkenaan.
Pegawai Penyelaras Dun Batu Burok, Zamri Awang Hitam ketika ditemui tetap optimis bahawa kawasan itu dapat dikuasai semula oleh BN atas faktor arus perubahan para pengundi di sana yang kian menjurus kepada BN.
âKita sudah puas hati dengan gerak kerja kita. Hasilnya, selain orang tua, orang-orang muda juga nampaknya semakin menyokong kerajaan dan ini memberi peluang yang baik kepada kita dalam PRU akan datang,â katanya.
Selain gerak kerja mantap dan kemas, keyakinan BN juga katanya berdasarkan perpecahan dalaman pembangkang hingga wujudnya pertembungan tiga penjuru di kerusi berkenaan iaitu melibatkan calon BN, Pas dan Amanah.
Menurut Zamri, seiring dengan perubahan semasa beliau menggunakan pendekatan media sosial seperti Facebook menyalurkan maklumat tentang segala bantuan, aktiviti BN untuk kesejahteraan masyarakat Dun Batu Burok.
âPolitik hari ini adalah politik emosi dan perspektif. Kita sebenarnya tidak mahu menunjuk-nunjuk apa yang telah BN buat tapi bila bermain dengan emosi dan perspektif, kita kena tampilkan agar pengundi nampak kerja-kerja kita buat.
âSemua ini mampu mempengaruhi terutama pengundi muda kerana golongan ini begitu hampir dengan dunia digital dan gajet,â katanya.
Atas hasil usaha yang dilakukan selama ini, Zamri berharap pengundi Dun Batu Burok yang mempunyai 12 peti undi dapat memilih BN pada PRU14 pada 9 Mei ini agar dapat merasai nikmat limpahan pembangunan.
âPeluang untuk BN ada. Ini bukan saya cakap tapi orang Pas sendiri beritahu peluang BN (Batu Burok) terbaik kerana Pakatan bertanding bukan untuk menang tapi matlamatnya untuk matikan Pas agar penyokongnya atau Pas sendiri ikut Pakatan,â katanya.
Zamri merupakan nama yang disebut-sebut sebagai calon BN kerusi Dun Batu Burok. Persoalannya, adakah Pas akan mengekalkan Dr Syed Azman di kerusi berkenaan kerana umum mengetahui beliau sebelum ini nampak lebih mesra dengan Amanah.
Ada pihak mengatakan Pas akan menempatkan anak Presidennya sendiri, Muhammad Khalil Abdul Hadi di kubu kuatnya itu dan sekiranya benar, telahan pemerhati politik bahawa Dr Syed Azman sudah tiada tempat dalam Pas adalah benar.
Selain BN dan Pas, Pakatan Harapan juga akan menampilkan calonnya dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah antara nama yang disebut bakal bertanding di kerusi berkenaan.
Cakap-cakap itu hampir pasti kerana Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi Dun selain mempertahankan Kuala Terengganu.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment