BN macam 'mak bapak' - Shahrizat

Wednesday, April 25, 2018

BN macam 'mak bapak' - Shahrizat

BN macam 'mak bapak' - Shahrizat

PETALING JAYA : Perjuangan Wanita Barisan Nasional (BN) memartabat kebajikan dan pembangunan wanita di negara ini bukan satu janji populis tetapi realistik untuk melihat wanita tidak dipinggirkan dalam pentadbiran negara.

Pengerusi Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata untuk itu, jaminan Manifesto Wanita BN digubal mengikut kehendak rakyat dan keupayaan parti merealisasikan tanggungjawab kepada pengundi.

"(Manifesto) kita boleh deliver (tunaikan), rakyat (pengundi baharu) akan lihat (teliti) dan guna akal untuk mengundi. Mereka tahu kemampuan BN berdasarkan kejayaan terdahulu (track record).

"BN macam 'mak bapak', walaupun lama (mentadbir) tetapi boleh dipertanggungjawabkan. Kita perlu letak kepercayaan kepada BN seperti kita percaya ibu bapa kita," katanya.

Beliau bercakap ketika temubual Program Soal Jawab bertajuk 'Manifesto Wanita BN' yang disiarkan TV3, di sini, malam ini.

Shahrizat berkata, usaha memperkasakan kepimpinan wanita tidak hanya dibincangkan di peringkat akar umbi sebaliknya, turut dibawa ke meja politik dan terus dibawa ke peringkat pembuat keputusan dasar.

"Dulu, selepas merdeka kita bercakap untuk memperjuangkan hak asasi wanita antaranya, untuk mengundi dan bekerja.

"Hari ini, tiada pemimpin yang berani untuk tidak bercakap (meminggirkan) isu wanita? Di mana-mana semua pemimpin akan 'bercakap' isu wanita.

"(Ini) buktikan kita (wanita) sudah berjaya membawa isu wanita ke meja rundingan. (Jadi) sekarang kita nak fokus kepada pembangunan ekonomi wanita supaya setiap wanita mempunyai 'dompet' sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, kebebasan ekonomi adalah mustahak untuk wanita bagi membolehkan golongan 'ratu hatiku' mempunyai dua pendapatan untuk membantu keluarga dan pada masa sama, menyumbang kepada ekonomi negara.

"Saya ibu, isteri dan seorang nenek. Saya faham susah kalau kita (wanita) tiada 'dompet' sendiri.

"(Hari ini) banyak keluarga perlu ada dua pendapatan. Sebab itu ramai wanita mahu jadi usahawan dan BN menyediakan saluran yang betul kepada wanita untuk berniaga," katanya.

Selain itu dalam perkembangan sama, Shahrizat turut menyentuh isu kesihatan wanita muda, pembinaan ekosistem untuk usahawan wanita seperti Pasarnita, kemahiran untuk seramai 235,000 ibu tunggal meningkatkan taraf hidup serta mahkamah khas untuk perkahwinan dan kes hadanah.

Semalam, Wanita BN dalam Program Ratu Hati Negaraku di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berjanji untuk merealisasikan harapan dan suara wanita yang merangkumi 51 peratus pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebanyak 364 inisiatif dalam Manifesto BN membabitkan 14 teras termasuk 25 inisiatif khusus untuk wanita menjadi bukti perjuangan BN dalam mengangkat martabat golongan itu.

Wanita memainkan peranan besar hari ini menerusi 70 peratus wanita di institut pengajian tinggi, 54.3 peratus tenaga kerja dan 51 peratus sebagai pengundi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan manifesto BN di Arena Axiata, Bukit Jalil, baru-baru ini mengumumkan 74 daripada 365 aku janji adalah membabitkan wanita.

Antara kandungan Manifesto BN membabitkan wanita ialah menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri khusus untuk agenda ekonomi wanita.

Ia termasuk aku janji menggilap potensi ibu tunggal melalui program peningkatan kemahiran dan latihan serta menggalakkan sektor swasta membenarkan ibu mengandung pulang sejam lebih awal.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment