Betul ke kes mata lebam - Hadi Awang
KOTA BHARU: Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi mempersoalkan kesahihan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Presiden PAS itu berkata insiden itu yang berlaku ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, boleh dianggap seperti adegan dalam filem Tamil.
Berdasarkan keadaan semasa antara Anwar dan Mahathir, Abdul Hadi mempersoalkan sama ada insiden berkenaan benar berlaku atau hanya lakonan semata-mata.
"Sekarang guna simbol mata (merujuk lambang PKR), mata lebam biru, lebam merah, (bekas) kena gocoh, bekas kena tumbuk.
"Tiba-tiba yang kena tumbuk dan yang tukang tumbuk bersatu, ...(jadi) kena tumbuk sungguh ke? Atau pura-pura saja?
"Macam filem Tamil, kena sekali tumbukan, jatuh berguling-guling, yang tengok menangis sedih, padahal tidak ada apa-apa, satu lakonan saja," katanya ketika berucap di Majlis Pengisytiharan Calon PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pertukaran calon PAS di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana-mana negeri termasuk Kelantan adalah perkara biasa.
Abdul Hadi berkata, ia adalah strategi bagi mengukuhkan lagi pengaruh serta sokongan rakyat kepada parti itu.
"(Calon di Kelantan) ada gabungan muka baru dan lama dan pertukaran dari DUN ke Parlimen serta Parlimen ke DUN adalah biasa, ...Presiden PKR (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) juga pindah lagi jauh dari tempat dia," katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dicalonkan bertanding di Bachok berkata beliau percaya keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan adalah yang terbaik.
"Ini tanggungjawab besar dan saya akan buat sehabis baik untuk rakyat di Bachok," katanya yang juga penyandang Parlimen Pasir Mas.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang dicalonkan di Pasir Mas yakin sokongan rakyat masih tinggi dan parti itu berupaya mengekalkan kerusi parlimen itu pada pilihan raya kali ini.
"Saya optimis rakyat akan beri kepercayaan kepada PAS dan saya sendiri adalah anak Pasir Mas," katanya.
PAS akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 45 DUN di Kelantan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment