Tempoh reman penceroboh istana dilanjut tiga hari
JOHOR BAHRU: Tempoh tahanan reman terhadap seorang lelaki yang menceroboh Istana Bukit Serene, di sini, dilanjutkan tiga hari sehingga Khamis ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais dalam kenyataannya, berkata tempoh tahanan dilanjutkan dari hari ini hingga 8 Mac, bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Shahurinain bagaimanapun enggan mengulas lanjut, namun meminta orang ramai memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, Khamis lalu, lelaki berusia 31 tahun itu bukan saja menceroboh kawasan larangan, malah cuba mencuri kereta Ferrari milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Suspek yang positif dadah jenis methapathemine memandu PROTON Waja dan meluru masuk ke pintu utama istana di Jalan Straits View yang dikawal anggota Timbalan Setia Johor (JMF).
Suspek berkenaan dikatakan menuju ke garaj, namun perbuatan mencurigakan itu disedari seorang kakitangan istana.
Lelaki yang berasal dari Gelang Patah itu dikatakan duduk di dalam kereta Ferrari biru sebelum kakitangan berkenaan sempat menarik kunci kereta berkenaan. Suspek kemudian melarikan diri melalui laluan sama.
Sebaik menerima laporan sepasukan polis melakukan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) istana dan berjaya memberkas suspek beberapa jam kemudian di sekitar Johor Bahru beberapa jam kemudian.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment