Sindiket dadah RM14.1 juta tumpas
MELAKA: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini selepas menahan tiga lelaki dan merampas 201.3 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM14.1 juta, dalam serbuan di sebuah rumah di Ayer Keroh, di sini, Sabtu lalu.
Semua dadah yang dibungkus menggunakan pembalut teh Cina itu ditemui sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di kediaman dalam kawasan perumahan elit itu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata siasatan awal mendapati, sindiket didalangi warga tempatan berusia antara 32 hingga 47 tahun itu memasarkan bahan terlarang berkenaan untuk pasaran tempatan dan negara jiran.
Katanya, siasatan juga mendapati sindiket terbabit sudah lama bergiat aktif, bagaimanapun lokasi terbaru serbuan itu dijadikan stor simpanan sejak dua bulan lalu.
"Semua dadah ini dirampas di lokasi pertama bersama dua suspek, sebelum polis menahan seorang lagi lelaki di kawasan berhampiran.
"Pemeriksaan di lokasi serbuan menemui lebih 190 paket dadah disyaki syabu yang dibungkus menggunakan pembalut teh Cina dengan berat setiap satunya melebihi satu kg.
"Polis turut merampas tiga kenderaan iaitu Toyota Hilux, Toyota Vios dan PROTON Waja bernilai kira-kira RM150,000 serta wang tunai RM450," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Abd Jalil Hassan.
Mohmad berkata, bekalan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira sejuta penagih, selain ia turut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran yang terletak di utara tanah air.
"Pemeriksaan juga mendapati, dua suspek yang ditahan di lokasi pertama positif dadah dipercayai methamphetamine. Ketiga-tiga mereka yang tiada rekod jenayah lalu direman sehingga Sabtu ini," katanya.
Pada 17 Februari lalu, JSJN Melaka menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila dadah yang juga dibungkus menggunakan pembalut teh Cina bernilai RM3.7 juta dirampas di sebuah rumah di Malim di sini.
Selain dadah disorokkan dalam tong ais itu, polis turut menahan lapan suspek warga tempatan, termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun dalam dua serbuan di dua rumah, antara jam 2.30 pagi hingga 6.30 petang, hasil maklumat dan risikan.
Antara dadah yang dirampas adalah 52.82kg syabu, 33 gram ketamin dan sebiji pil ecstacy.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment