Simpang empat kerap berlaku nahas
TANGKAK - Ketiadaan sebarang tanda amaran mahupun petunjuk mengenai kewujudan jalan simpang empat di Kampung Karang, Tanjung Gading Barat, Kesang, di sini, menimbulkan pelbagai masalah selain membahayakan keselamatan orang ramai.
Penduduk, Idris Lias, 40, berkata, laluan terbabit sering kali berlaku kemalangan gara-gara orang luar yang tidak arif tentang selok-belok jalan di situ.
âBukan sekali, saya boleh katakan kerap kali ada sahaja kemalangan yang berlaku di simpang ini dan kebanyakan membabitkan penduduk luar yang jarang menggunakan laluan ini, jadi mereka tak perasan kewujudan simpang empat di sini.
âMalah, pernah beberapa tahun lalu juga berlalu kemalangan membabitkan mangsa kanak-kanak yang melalui jalan ini apabila dirempuh sebuah kenderaan yang sepatutnya melintasi simpang ini,â katanya.
Meskipun kemalangan kerap berlaku sejak dulu, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan untuk memasang papan tanda mahupun garisan putih yang semakin hilang.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Luqman Mohd Ridzuan, 40, berkata, faktor meningkatkan risiko kemalangan juga adalah disebabkan jalan di situ yang merupakan laluan utama berikutan kawasannya mempunyai banyak lokasi tarikan orang ramai.
âKawasan kami ini memang mempunyai kelebihan apabila ada perkampungan nelayan, pasar ikan segar, medan selera ikan bakar, pusat pelancongan air terjun mini dan pelbagai produk pelancongan di Kampung Karang, Tanjung Gading Barat.
âJusteru, keadaan itu menyebabkan laluan ini tak pernah sunyi dan memang ramai pengunjung luar yang datang memasuki kawasan ini. Bagi kami penduduk kampung, memang dah tahu kewujudan simpang empat ini, namun tidak bagi pengunjung,â katanya.
Terdahulu, Ketua PKR Cabang Ledang, Dr Chong Fat Full bersama Ketua Amanah Kawasan Ledang, Dr Faizul Amri Adnan membuat tinjauan di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang ramai.
âDari pemerhatian saya, kawasan ini memang ramai pengguna. Dan saya akui, bagi orang luar yang tidak biasa dengan jalan ini memang tidak akan perasan kewujudan simpang empat kerana tiada papan tanda berhenti, petak kuning serta petak simpang dan sekali gus memberikan risiko besar kepada semua pihak.
âJusteru, saya cadangkan pihak berkaitan memasang papan tanda berhenti, garisan berhenti, garisan kurang laju dan garisan petak simbol untuk melintas. Sementara bagi jangka masa panjang, semua papan tanda penunjuk arah jalan dan papan tanda nama jalan disusun semula kerana papan-papan tanda tersebut menghalang skop pandangan pengguna di sekitar tempat ini,â katanya.
Beliau berkata, cadangan dan aduan itu akan diusulkan kepada Majlis Daerah Tangkak dalam masa terdekat untuk pihak berkenaan menyalurkan permasalahan itu ke jabatan bersesuaian.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment