'Elak salah guna media sosial'

Monday, March 19, 2018

'Elak salah guna media sosial'

'Elak salah guna media sosial'

KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan konsep kawalan kendiri bagi mengelak penyalahgunaan media sosial, sekali gus mengatasi penyebaran berita palsu di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata orang ramai kini berlumba-lumba menjadi yang pertama berkongsi sesuatu di laman sosial tanpa memikirkan kesan penyebaran dan perkongsian berita palsu itu bukan saja mengelirukan masyarakat, malah boleh mengancam keharmonian negara.


PENGERUSI CMCF

"Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak masing-masing supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial.

"Ini kerana kawalan kendiri membabitkan kesedaran individu itu sendiri dan ia penting dalam menghadapi era kecanggihan teknologi maklumat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif CMCF, Mohd Mustaffa Fazil Mohd Abdan.


PENGARAH Eksekutif CMCF, Mohd Mustaffa Fazil Mohd Abdan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ahmad Izham berkata, sepanjang tahun lalu, CMCF menerima 395 aduan berkaitan penyalahgunaan media sosial, termasuk penyebaran berita palsu.

"Jumlah itu mencatatkan sedikit pengurangan berbanding tahun 2016.

"Namun, daripada jumlah itu, kira-kira 263 aduan yang diterima membabitkan berita palsu dan ia perlu diberi tumpuan oleh semua pihak.

"Justeru, kesedaran sivik perlu dipertingkatkan dan orang ramai diminta mengamalkan konsep 3R iaitu Research (penyelidikan), Responsibility (Bertanggungjawab) serta Report (Lapor) sebelum menyebarkan sebarang maklumat atau memberi komen di media sosial," katanya.

Sementara itu, Mohd Mustaffa berkata, pihaknya turut mengadakan kempen 'What You Do Sticks With You' dan 'Di Sebalik Wajah.com.my' bagi memberi kesedaran kepada pengguna media sosial serta pelayar Internet mengenai risiko yang bakal dihadapi akibat perbuatan yang tidak wajar dilakukan.

Selain itu, katanya, CMCF turut menyertai kempen 'Sebenarnya.my' anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bagi memberi penjelasan mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan orang ramai.

Katanya, portal Sebenarnya.my juga menjadi platform bagi membolehkan orang ramai menyemak serta berkongsi mengenai sesuatu fakta yang sahih.

"Sesi jelajah kempen masih berjalan di seluruh negara dan ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

"Kempen sebegini mampu membantu meningkatkan lagi kesedaran orang ramai dalam usaha mengatasi penyebaran berita palsu di alam maya.

"Sentiasa berwaspada ketika menggunakan media sosial dan jangan kongsi apa juga perkara yang belum dipastikan kesahihannya", katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment