'Jawab sajalah, Guan Eng'
SEPANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, perlu membuat penjelasan kepada rakyat berhubung isu membabitkan projek mega terowong dasar laut di negeri itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tindakan Setiausaha Agung DAP itu yang didakwa menolak untuk berdebat dengan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, atas alasan mereka tidak setaraf, adalah percubaan untuk mengelak.
"Cuba beralih (berdebat) dengan saya atau sesiapa saja tidak akan membantu.
"Semua orang boleh lihat dia cuba mengelak daripada berdebat dengan mencari pelbagai alasan (sedangkan) dia tidak boleh memberi jawapan kepada Ka Siong.
"Tidak perlu mengelak atau lari menggunakan alasan kononnya tidak setaraf kerana beliau (Guan Eng) Ketua Menteri, orang nombor satu.
"Ini menimbulkan keraguan rakyat dan menunjukkan dia tidak telus, seperti ada sesuatu cuba disembunyikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan enam tren baharu Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Guan Eng didakwa menolak untuk berdebat mengenai kontroversi projek terowong dasar laut itu dengan Ka Siong kerana kononnya tidak mahu merendahkan martabat jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandang dengan menyahut cabaran pemimpin nombor dua MCA.
Guan Eng dilaporkan berkata, debat harus sepadan dengan jawatan dipegang, bukannya secara suka-suka atau sebarangan orang dan ia sepatutnya dibuat oleh Presiden MCA.
Projek mega terowong bernilai RM6.3 bilion itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment