Remaja meninggal dunia diseret, digilis lori
DUNGUN: Sungguh menyayat hati apabila seorang pelajar perempuan menanggung azab digilis dan diseret sebuah lori sejauh 50 meter, dalam kemalangan di Jalan Balai Besar-Alur Tempoyak di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu menyebabkan mangsa, Nur Syuhaiba Shafiee, 15, maut di tempat kejadian.
Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, Dungun itu menunggang motosikal Honda EX5 bersendirian dari rumahnya di Perumahan Taman Rakyat di sini, untuk ke rumah neneknya di Kampung Batu 48.
Setibanya di lokasi kejadian, Nur Syuhaiba dikatakan cuba memasuki sebuah simpang di situ, sebelum sebuah lori yang sarat membawa muatan sagu keropok dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa.
Mangsa yang tercampak ke atas jalan kemudiannya digilis dan diseret sejauh 50 meter sebelum lori itu berhenti.
Pemandu lori berusia 33 tahun yang berasal dari Kuala Terengganu itu dikatakan ketakutan dan bertindak melarikan diri ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, jenazah Nur Syuhaiba dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment