Rakyat anggap manifesto Harapan terlalu tinggi

Monday, March 19, 2018

Rakyat anggap manifesto Harapan terlalu tinggi

Rakyat anggap manifesto Harapan terlalu tinggi

 KUALA TERENGGANU - Rata-rata orang ramai menganggap manifesto PRU14  Pakatan Harapan (Harapan) yang akan tawarkan rumah setiap seorang terlalu tinggi dan tidak logik.

Mereka berpendapat janji yang diberikan lebih kepada ingin mengambil hati pengundi sedangkan jika dilihat secara kasar, terlalu sukar untuk ditepati.

Bagi Mohd Khairul Anwar Omar, 27, yang bekerja sendiri berpendapat manifesto untuk berikan rumah memang sangat ‘sedap’ didengar tetapi jika difikirkan sebaliknya sangat tidak logik.

“Secara peribadi, saya lihat janji diberikan kepada rakyat terlalu tinggi dan lebih kepada hendak mengambil hati pengundi semata-mata.

“Diakui memang lah ramai dalam kalangan rakyat masih tidak memiliki rumah sendiri tetapi janganlah disebabkan ini, pihak berkenaan ingin mengambil kesempatan berjanji perkara seperti ini,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi pengundi muda, Fazri Kasim, 25, yang menganggap janji diberikan semata- mata hendak menyedapkan hati pengundi terutama pengundi muda sepertinya.

“Ganer (macam mana) nak buwi ( bagi) rumah, tanah pun payoh (payah) nak cari sekarang, inikan pula nak bagi sebuah seorang.

“Kami pengundi muda memanglah tertarik bila dengar janji diberikan tapi rasa macam dok ( tak) logik langsung,” katanya.

Selain itu, seorang pekerja swasta, Wan Mohd Redzuan Ngah, 36, berpendapat manifesto dijanjikan hanya ‘gula-gula’ politik yang hanya ingin meraih undi semata-mata.

“Saya dapati manifesto dibentangkan meskipun lebih mirip dengan manifesto parti-parti lain tetapi tidak memberi kesan yang besar kepada pengundi.

“Tentang janji nak bagi rumah, bagi saya ianya hanya janji kosong sahaja lebih kepada hendak meletakkan keyakinan yang tinggi untuk menang pilihan raya semata-mata,” katanya.

Sementara itu bagi peniaga, Che Zaliha Hamzah, 59, manifesto yang dibentangkan itu sebenarnya sudah baik kerana janji hendak bagi rumah memandangkan ramai dalam kalangan rakyat hari ini tidak memiliki rumah sendiri, malah terpaksa menyewa dengan kos yang tinggi.

“Saya suka dengan janji yang diberi tetapi berharap janji itu ditunaikan sekiranya mereka menang.

“Jangan setakat janji kosong ibarat ‘tin kosong’ sahaja, masa mahukan rakyat, macam-macam janji manis ditaburkan, tetapi apabila sudah dapat yang dihajati, janji sebelum ini dilupakan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment